PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan kira-kira 20 akaun bank membabitkan nilai kira-kira RM740,000 bagi siasatan penyelewengan dana derma awam melibatkan pasangan pempengaruh bersama dua lagi individu lain.
Menurut Utusan Malaysia, sumber memberitahu, beberapa akaun tersebut adalah milik individu dan syarikat dipercayai mempunyai kaitan dengan dana yang diterima daripada orang ramai menggunakan satu platform kutipan sumbangan dalam talian.
“Sejak siasatan dijalankan, SPRM menerusi Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) telah menyita dan membekukan kira-kira 20 akaun milik individu serta syarikat bagi membantu siasatan yang dilakukan.
“Kemungkinan ada beberapa lagi akaun perbankan yang akan turut disita serta dibekukan oleh SPRM,” katanya.
Sementara itu, Pengarah AML SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan pembekuan beberapa akaun milik individu serta syarikat susulan siasatan SPRM terhadap pasangan pempengaruh terbabit.
Katanya, sitaan dan pembekuan akaun-akaun tersebut dibuat mengikut Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
































