David Chan
KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Sabah menggesa pihak berkaitan mengambil tindakan segera berhubung masalah bekalan air yang didakwa berlarutan di Wisma Merdeka sejak hampir dua bulan lalu.
Pengerusinya, David Chan berkata, pihaknya menerima aduan daripada pengguna yang mendakwa gangguan bekalan air itu telah menjejaskan kemudahan asas di kompleks beli-belah berkenaan, khususnya tandas awam.
Beliau berkata, bekalan air yang mencukupi amat penting bagi memastikan tahap kebersihan, sanitasi dan keselesaan pengguna sentiasa terpelihara di sebuah premis komersial yang menjadi tumpuan orang ramai.
“Berdasarkan aduan yang diterima, masalah ini menyebabkan kesulitan kepada pengunjung, penyewa premis dan pekerja di kompleks berkenaan.
“Keadaan ini lebih mencabar bagi golongan warga emas, wanita, kanak-kanak serta orang kurang upaya (OKU) yang memerlukan akses kepada kemudahan tandas yang bersih dan berfungsi dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, beliau menggesa pengurusan Wisma Merdeka memberikan penjelasan mengenai punca sebenar gangguan bekalan air tersebut serta mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kemudahan asas, khususnya tandas awam, dapat beroperasi dengan baik.
David berkata, sekiranya masalah itu berpunca daripada tekanan air rendah atau gangguan bekalan awam, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) wajar menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar.
Beliau turut mencadangkan agar langkah sementara seperti penggunaan lori tangki air dipertimbangkan bagi membantu mengisi tangki simpanan bangunan sehingga bekalan air kembali stabil.
Pada masa sama, katanya, kerjasama erat antara pihak pengurusan Wisma Merdeka dan JANS penting bagi menentukan sama ada masalah tersebut berpunca daripada sistem bekalan air awam, tekanan air rendah atau sistem simpanan serta pengagihan air dalaman bangunan.
“Punca teknikal dan tanggungjawab yang berkaitan perlu dikenal pasti dengan jelas supaya penyelesaian jangka panjang dapat dilaksanakan tanpa kelewatan.
“Masalah bekalan air yang berlarutan di sebuah kompleks komersial utama tidak seharusnya dibiarkan berpanjangan kerana ia memberi kesan kepada kebersihan awam, keselesaan pengguna, operasi perniagaan dan kebajikan pekerja,” katanya.
Beliau berharap semua pihak berkaitan dapat memberi perhatian sewajarnya terhadap perkara itu dan mengambil langkah segera bagi memastikan bekalan air yang stabil serta kemudahan tandas yang bersih dan berfungsi dapat dinikmati oleh pengguna, penyewa dan pekerja.
“Akses kepada air bersih dan sanitasi yang baik merupakan keperluan asas. Pengguna tidak seharusnya berdepan kesulitan yang berpanjangan, khususnya di premis komersial yang digunakan orang ramai,” katanya.






























