Haji Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri sedang mengadakan libat urus dengan Kementerian Kewangan (MoF) dan agensi Persekutuan berkaitan bagi mempertimbangkan penambahbaikan terhadap mekanisme pelaksanaan program subsidi diesel bersasar di Sabah yang mula berkuat kuasa bulan ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, satu mesyuarat susulan yang melibatkan agensi Kerajaan Negeri, MoF serta agensi Persekutuan berkaitan akan diadakan pada 17 Julai ini dan dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah.
“Perluasan program subsidi diesel bersasar ke Sabah yang bermula pada 1 Julai lalu turut dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet Negeri pada 13 Julai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri memandang serius isu-isu yang dibangkitkan oleh pelbagai pihak berkepentingan.
“Sehubungan itu, MoF dan agensi kerajaan berkaitan telah diminta untuk meneliti dengan lebih lanjut isu-isu berkenaan serta mempertimbangkan cadangan yang sesuai bagi menangani kebimbangan dan masalah yang dihadapi oleh pihak-pihak yang terkesan,” katanya.
































