KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menggesa Kerajaan Persekutuan mengubah struktur pengurusan pertanian negara daripada pendekatan pentadbiran berpusat kepada model tadbir urus secara perkongsian atau Federal Agricultural Governance.
Membahas Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata, pendekatan itu membolehkan dasar-dasar strategik berkaitan pertanian dirangka secara bersama antara Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Wilayah Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, asas pembentukan Malaysia adalah berlandaskan perkongsian kuasa menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), bukannya pemusatan kuasa.
“Pertama, wujudkan mekanisme konsultasi tetap bersama Kerajaan Wilayah Sabah dan Sarawak melalui pendekatan Federal Agricultural Governancesebelum sebarang peraturan diwujudkan di bawah Akta ini,” katanya.
Madius turut menyuarakan kebimbangan terhadap kuasa yang diberikan kepada Menteri menerusi Seksyen 29 RUU berkenaan untuk menetapkan pelbagai peraturan berkaitan penggredan, pelabelan dan kawalan harga.
Beliau menuntut jaminan bahawa kuasa tersebut tidak akan menceroboh fungsi dan bidang kuasa Kerajaan Wilayah Sabah dan Sarawak yang dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Saya mencadangkan agar rundingan rasmi dan bermakna diwajibkan bersama wakil pihak berkepentingan, termasuk kerajaan-kerajaan wilayah dan negeri, sebelum sesuatu peraturan dibuat di bawah seksyen tersebut.
“Pendekatan ‘one size fits all’ tidak semestinya sesuai. Sabah mempunyai cabaran yang jauh berbeza daripada Semenanjung. Sebahagian besar bekalan beras kami bergantung kepada pengangkutan laut, kos logistik lebih tinggi, majoriti pesawah ialah pesawah kecil, dan kami mempunyai kawasan penanaman padi bukit,” katanya.
Walaupun menyokong usaha Kerajaan membanteras kartel dan penyelewengan dalam industri beras, beliau berkata isu keterjaminan makanan negara perlu ditangani secara menyeluruh dengan melihat punca sebenar masalah.
Madius mempersoalkan sama ada krisis bekalan beras berpunca semata-mata daripada kelemahan hukuman undang-undang atau disebabkan faktor lain seperti produktiviti rendah, peningkatan kos pengeluaran, pendapatan pesawah yang tidak memadai serta kebergantungan negara terhadap import beras.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli mengemukakan empat cadangan utama kepada kerajaan bagi memperkukuh keterjaminan makanan negara.
Selain mewujudkan mekanisme konsultasi tetap dengan Sabah dan Sarawak, beliau mencadangkan supaya persetujuan rasmi kedua-dua kerajaan wilayah diperoleh bagi mana-mana peraturan yang menyentuh bidang kuasa mereka seperti yang dilindungi Perlembagaan.
Beliau juga menggesa Kerajaan membentangkan Laporan Keterjaminan Beras Negara secara tahunan di Parlimen yang merangkumi data pengeluaran, import dan tahap sara diri mengikut wilayah.
“Dan akhir sekali sediakan Pelan Tindakan Keterjaminan Makanan Negara yang menetapkan sasaran khusus bagi meningkatkan pengeluaran hasil pesawah serta mengurangkan kebergantungan kepada import beras luar,” katanya.
































