KOTA KINABALU: Peranan ahli psikologi, kaunselor dan pekerja sosial kini semakin penting dalam membantu masyarakat menghadapi pelbagai cabaran psikososial yang timbul akibat perkembangan teknologi digital, kata Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor.
Beliau berkata, revolusi digital telah mengubah cara manusia berinteraksi, bekerja, belajar dan mendapatkan sokongan psikososial, sekali gus mewujudkan cabaran baharu berkaitan kesihatan mental, kesejahteraan psikologi, keselamatan siber, ketagihan digital serta perubahan dalam dinamika sosial masyarakat.
“Dalam konteks ini, peranan ahli psikologi, kaunselor dan pekerja sosial menjadi semakin penting.
“Kita bukan sahaja perlu memahami perubahan tingkah laku manusia dalam era digital, malah perlu membangunkan pendekatan intervensi yang inovatif, berasaskan bukti dan bersesuaian dengan keperluan masyarakat masa kini,” katanya ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Psikologi, Kaunseling dan Kerja Sosial Ke-6 (ICPCSW 2026) di sini.
Persidangan anjuran Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial (FPKS) UMS itu menghimpunkan penyelidik, ahli akademik dan pengamal dari dalam serta luar negara bagi meneroka inovasi dan penyelesaian dalam menangani cabaran psikososial pada era digital.
Bertemakan “Psychosocial Innovation in the Digital Era: Advancing Mental Health, Counselling and Social Work Practice”, persidangan itu memfokuskan kepada penerokaan pendekatan dan amalan inovatif dalam bidang psikologi, kaunseling dan kerja sosial bagi memenuhi keperluan masyarakat yang semakin dipengaruhi perkembangan teknologi digital.
Kasim berkata, ICPCSW 2026 turut berperanan memperkukuh jaringan akademik dan profesional merentas negara melalui pembentangan hasil penyelidikan, perbincangan ilmiah dan pertukaran idea.
“Melalui pembentangan hasil penyelidikan, perbincangan ilmiah dan pertukaran idea, kita dapat menghasilkan penyelesaian yang lebih berkesan bagi menangani isu-isu psikososial yang semakin kompleks,” katanya.
Beliau berkata, UMS sentiasa komited memperkasa penyelidikan, inovasi dan kolaborasi antarabangsa selaras dengan aspirasi universiti untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.
“UMS sentiasa menyokong usaha yang dapat meningkatkan kesejahteraan mental, pembangunan modal insan dan keseimbangan sosial.
“Penyertaan penyelidik dan pengamal dari pelbagai negara dalam persidangan ini adalah satu perkembangan positif yang mampu memperkayakan wacana akademik serta membuka peluang kepada kerjasama penyelidikan yang lebih luas pada masa hadapan,” katanya.
Kasim berharap persidangan itu dapat menghasilkan dapatan penyelidikan, cadangan dan inovasi yang bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti akademik, malah dapat diterjemahkan kepada dasar, amalan profesional dan intervensi yang memberi impak positif kepada masyarakat.
Persidangan tersebut turut mendapat kerjasama beberapa rakan strategik dan institusi kolaboratif dalam memperkukuh pembangunan ilmu serta amalan profesional dalam bidang psikologi, kaunseling dan kerja sosial.
Turut hadir Dekan FPKS UMS, Profesor Dr. Mohd. Dahlan A. Malek yang menyampaikan ucapan aluan, selain barisan penceramah dan peserta persidangan dari pelbagai negara.
































