Azalina dan Madius
KUALA LUMPUR: Wang tunai dan harta bernilai RM114 juta yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes rasuah dan salah guna kuasa membabitkan bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah pada 2016 masih berada dalam simpanan selamat agensi itu sementara menunggu proses perundangan dimuktamadkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, aset berkenaan hanya boleh dilucuthakkan dan dimasukkan ke dalam Perbendaharaan Malaysia selepas perintah pelucuthakan diperoleh daripada mahkamah.
“Aset ini hanya akan dilucuthakkan dan dimasukkan ke dalam Perbendaharaan Malaysia setelah perintah pelucuthakan daripada mahkamah diperoleh,” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa mengikut prosedur operasi standard agensi penguatkuasaan, semua aset yang disita akan kekal di bawah jagaan agensi berkenaan sehingga segala proses dan keputusan mahkamah selesai.
Azalina turut mendedahkan bahawa pihak pendakwaan sebelum ini telah memohon kepada Mahkamah Sesyen supaya semua wang dan harta sitaan itu dilucuthakkan kepada Kerajaan Malaysia.
Bagaimanapun, katanya, Mahkamah Sesyen mengarahkan permohonan tersebut ditangguhkan sementara bagi membolehkan semua proses rayuan di mahkamah yang lebih tinggi diselesaikan terlebih dahulu.
“Sehubungan itu, pihak pendakwaan telah pun memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi terhadap keseluruhan keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Sesyen tersebut.
“Perkara ini masih lagi tertakluk kepada proses perundangan yang sedang berjalan,” katanya.
Isu itu dibangkitkan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang meminta Kerajaan Persekutuan menjelaskan kedudukan terkini dana berkenaan serta langkah untuk mengembalikannya kepada Kerajaan Negeri Sabah.
Madius berkata, dana tersebut pada asalnya diperuntukkan bagi projek menaik taraf kemudahan bekalan air di Sabah dan mempersoalkan sama ada wang yang dirampas itu akan dikembalikan untuk tujuan asalnya selepas proses perundangan selesai.
































