Armizan Mohd. Ali (kiri) beramah mesra dengan orang ramai yang berkunjung ke Jelajah Karnival KPDN 2024 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, Kota Bharu, Kelantan Jumaat.
KOTA BHARU: Semua pengilang, pengeluar, pengimport dan pemborong yang melanggar peraturan serta tidak mematuhi standard penandaan kuantiti pada label bungkusan untuk pasaran negara akan berdepan tindakan.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, peraturan yang dikuatkuasakan pada 4 Jun itu dibuat selepas diwartakan pada 2 Oktober tahun lalu di bawah Perintah Perihal Dagangan (Penandaan Kuantiti Bagi Barang- Barang Tersedia Bungkus) 2023 di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.
Menurutnya, pelaksanaan itu akan membolehkan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjalankan pemeriksaan serta ujian ketepatan kuantiti produk secara terus di peringkat pengilangan bagi mencegah penipuan.
“KPDN mahu memastikan pihak berkenaan mematuhi stnadard penandaan kuantiti pada label bungkusan bagi semua produk dan barangan tersedia bungkusan yang dijual dalam pasaran negara.
“Penguatkuasaan perundangan ini akan membantu pengguna bagi mendapat maklumat yang jelas berhubung dengan kuantiti produk sekali gus boleh menambah keyakinan pengguna semua produk tersedia bungkus yang berada di pasaran,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Jelajah Karnival KPDN 2024 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong di sini Jumaat.
Armizan memberitahu, pada masa sama pihak industri juga secara tidak langsung perlu mempertingkatkan kawalan dalaman bagi memastikan kuantiti setiap produk tersedia bungkus adalah tepat dan tidak merugikan pengguna.
Katanya, ketidakpatuhan tersebut, syarikat boleh dikenakan denda tidak melebihi RM200,000 dan bagi kesalahan kali kedua atau yang berikutnya didenda tidak melebihi RM500,000.
“Bagi individu pula boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali dan bagi kesalahan kali kedua atau yang berikutnya didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Perintah ini merupakan komitmen negara bagi mengharmonikan perundangan dalam bidang pengukuran dalam kalangan negara ASEAN, bagi mengelak halangan teknikal mengenai perdagangan antara negara,”ujarnya.
































