Dr. Joachim (kanan) melaungkan laungan bersatu bersama Dr. Samuil serta ahli PBS Bahagian N2 Bengkoka
PITAS: Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam menyeru ahli-ahli PBS untuk terus bersatu dan tidak berpecah-belah.
Selain itu, beliau juga mahu semua ahli untuk memenangkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan menyokong siapa juga yang akan dicalonkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bengkoka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.

Dr. Joachim ketika sedang memberikan ucapannya
“Kalau kita tidak bersatu dalam politik, ini akan memudahkan pihak lawan memenangi pilihan raya. Misalnya pada PRN lalu, di sini sahaja terdapat 10 calon Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) dan pihak lawan pada masa itu menang dengan mudahnya,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PBS Bahagian N.2 Bengkoka di Dataran Futsal Bengkoka, di sini, kelmarin (8 Jun).
Dr. Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri II turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada Ketua Bahagian, Dr. Samuil Mopun dan ahli jawatankuasanya kerana berjaya menambah jumlah ahli aktif daripada hanya 1,002 orang sahaja pada tahun 2020.

Dr. Joachim menyempurnakan paluan gong sebanyak tujuh kali sebagai gimik perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PBS N2. Bengkoka sambil disaksikan oleh Dr. Samuil (belakang, bertopi putih) dan ahli PBS yang lain.
“Hari ini saya amat berbangga, mereka kini mempunyai keahlian melebihi 4,000 ahli aktif dan saya percaya ia masih boleh dipertingkatkan lagi,” katanya.
Dr. Joachim berkata, Kerajaan GRS kini sedang memberikan fokus kepada usaha menuntut hak-hak Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) demi rakyat Sabah.

Dr. Joachim menyantuni ahli PBS ketika memasuki Dataran Futsal Bengkoka, kelmarin.
Katanya, selama Kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah Sabah iaitu dalam tempoh 20 tahun, hak-hak Sabah seperti 40 peratus tidak diutamakan.
“40 peratus yang dituntut adalah hasil yang dikutip Kerajaan Persekutuan daripada wilayah Sabah sendiri dan bukannya daripada negeri-negeri lain di Semenanjung,” jelas beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu.
Seramai 569 ahli perwakilan menghadiri AGM tersebut.

Dr. Joachim (empat dari kiri) menerima borang permohonan keahlian daripada Lightson Kohiya dari Kampung Masin sambil disaksikan oleh Dr. Samuil (tiga dari kiri).
Hadir sama ialah pemerhati daripada rakan-rakan komponen GRS antaranya Ketua Bahagian Parti Solidariti Tanah Airku (STARSABAH) Bengkoka, Maklin Masiau; wakil Parti Maju Sabah (SAPP), Dr. Bristol Mokujal; Timbalan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Sotijin Juhui; Ketua Pemuda PBS, Christoper Mandut; Ahli Majlis Tertinggi PBS, Goon Thien Shang; Pengerusi Penganjur, Sungkim Rumangun; Pergerakan Wanita, Pergerakan Pemuda dan beberapa lagi Exco Pemuda PBS pusat.
































