Dr Mohd Arifin diiringi Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar, mendengar taklimat mengenai produk kraftangan yang dipamerkan di SICC.
KOTA KINABALU: Pusat Kraftangan Sabah (PKS) melaksanakan 1,066 program dengan peruntukan keseluruhan RM47.2 juta, yang memberi manfaat kepada 22,038 peserta antara 2011 hingga 2026.
“Angka ini menunjukkan pembangunan industri kraftangan bukan sekadar memelihara warisan, tetapi juga mewujudkan peluang ekonomi kepada rakyat,” kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan tahun ini bagi melaksanakan 29 program membabitkan 200 peserta daripada kumpulan sasar.
Sabah mempunyai warisan budaya yang kaya, termasuk tenunan, batik, kraftangan buluh dan rotan, kerja manik serta pelbagai hasil kraftangan lain yang perlu diteruskan oleh generasi muda seiring perubahan zaman, katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Apresiasi dan Penutupan Program Khas Anak Negeri Sabah (PKAN) 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini. Ucapan beliau disampaikan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.
Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, berkata pembangunan modal insan perlu bergerak seiring perubahan teknologi, pekerjaan dan keperluan industri.
“Rakyat Sabah perlu dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran untuk menyesuaikan diri, berinovasi dan merebut peluang.
“Sebab itu pendidikan, latihan, bimbingan, keusahawanan dan akses pasaran perlu saling melengkapi supaya kemahiran yang diperoleh dapat diterjemahkan kepada produk, perniagaan, pendapatan dan pembangunan ekonomi komuniti.
“Program Khas Anak Negeri atau PKAN yang kita raikan hari ini merupakan contoh inisiatif yang menyediakan peluang kepada rakyat untuk membina keupayaan melalui kemahiran dan pengalaman.”
Beliau berkata penyertaan hasil batik dan cetakan digital PKS dalam pertunjukan fesyen KPDN Presents: Fashion Forward Batik Malaysia sempena Kuala Lumpur Fashion Week 2026 membuktikan kreativiti dan hasil kerja seni Sabah berpotensi mendapat pengiktirafan lebih luas.
Katanya, usaha berterusan Yayasan Sabah memastikan industri kraftangan terus mampan dan berkembang turut diperkukuhkan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Yayasan Sabah melalui PKS dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB).
Ia disusuli penyampaian Surat Hasrat (LOI) kepada Yayasan Sabah daripada Politeknik Kota Kinabalu, Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia mengenai Matlamat Pembangunan Mampan (APPGM-SDG) dan Sugee Group Sdn Bhd.
Hajiji turut mengalu-alukan penglibatan institusi pendidikan seperti Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) dan University College Sabah Foundation (UCSF) dalam PKAN.
“Penglibatan mereka menunjukkan pembangunan modal insan bukan sahaja terhad kepada kemahiran tradisional, tetapi turut merangkumi bidang berkaitan kebolehpasaran pekerjaan, teknologi, keusahawanan dan keperluan industri semasa.
“KTYS juga menunjukkan perkembangan positif dalam usaha pembangunan modal insan. Antara 2016 hingga 2026, KTYS melaksanakan 93 program dengan jumlah peruntukan RM15.01 juta, membabitkan 1,936 peserta,” katanya.
Menerusi PKAN, KTYS melaksanakan Program Gerak Cemerlang SPM (GeCerSPM) yang memberi tumpuan kepada peningkatan prestasi pelajar dalam mata pelajaran kritikal iaitu Matematik dan Sains.
Hajiji berkata program yang pada awalnya membabitkan tiga sekolah dan 200 pelajar itu berjaya meningkatkan kadar kelulusan daripada 35 peratus kepada 98 peratus dalam peperiksaan SPM 2025.
Susulan kejayaan itu, penyertaan diperluaskan kepada 300 pelajar daripada enam sekolah tahun ini, katanya.
Selain itu, Program Gerak Ekonomi Makanan Inovasi Laut (GEMILAU) dilaksanakan bagi memperkasa ekonomi komuniti rentan menerusi kemahiran pemprosesan makanan laut, dengan 43 daripada 89 peserta berjaya meningkatkan pendapatan mereka, katanya.
Sementara itu, UCSF menerusi PKAN Sabah 2026 melaksanakan program Exploration and Empowerment of Technology, Arts and Entrepreneurship (ExPERTISE) dengan peruntukan RM750,000 bagi 11 program yang memberi manfaat kepada 314 peserta sasar terdiri daripada golongan belia dan masyarakat anak negeri Sabah.
Hajiji berkata Program Sijil Pembantu Penjagaan Pesakit (PCA) antara inisiatif yang dilaksanakan tahun ini dengan kerjasama Institut Jantung Negara University College (IJNUC), yang menyaksikan 13 pelajar mendapat penempatan latihan praktikal selama tiga bulan di Institut Jantung Negara (IJN) dan klinik swasta di Sabah.
Beliau berkata program BRIDGE (Building Resources, Inclusivity, Development and Growth in Communities) turut berjaya dilaksanakan menerusi sembilan program meliputi bidang seni dan kraftangan, pelancongan dan hospitaliti, kecerdasan buatan (AI), sains dan teknologi serta pertanian.
Program jangkauan itu membabitkan 292 peserta dari daerah dan kawasan termasuk Sipitang, Semporna, Pulau Banggi, Keningau, Ranau, Kota Belud, Kota Marudu dan Kota Kinabatangan.
Dalam hal ini, UCSF melaksanakan 85 program dengan jumlah peruntukan RM11.7 juta, yang memberi manfaat kepada 1,842 peserta antara 2015 hingga 2025.
Hajiji memberi jaminan kerajaan negeri akan terus memperkukuh usaha bagi memastikan pembangunan Sabah kekal berteraskan rakyat, dengan peluang terus disediakan kepada masyarakat.






























