KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah dan komuniti perniagaan negeri meneroka peluang memperkukuh kerjasama strategik dengan China dalam sektor pertanian, perikanan, industri makanan serta perdagangan dan pelaburan, termasuk menembusi pasaran Kawasan Teluk Besar Guangdong-Hong Kong-Macao (Greater Bay Area).
Delegasi lebih 100 anggota yang diketuai bersama Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Datuk Jamawi Jaafar dan Presiden Dewan Perdagangan Malaysia-China (MCCC) Sabah Datuk Dexter Lau tiba di Guangzhou pada jam 10 malam tadi.
Lawatan selama empat hari bermula 11 hingga 14 November itu dianjurkan bersama Kerajaan Sabah dan MCCC Sabah menerusi program Lawatan Pertukaran Kerajaan dan Perniagaan Malaysia-China ke Guangzhou, Kajian Industri serta Majlis Makan Malam Jaringan Perniagaan.
Dexter berkata lawatan itu mendapat sokongan penuh Kerajaan Sabah dan mencerminkan komitmen negeri untuk memperluas hubungan ekonomi antarabangsa menerusi kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta.
Menurutnya, inisiatif itu turut memberi peluang memperkenalkan potensi dan kelebihan Sabah dalam sektor pertanian, perikanan serta industri makanan kepada kerajaan dan komuniti perniagaan China.
“Usaha berkenaan bukan sahaja bertujuan menarik pelaburan dan memperluas pasaran eksport, malah membuka ruang kepada kerjasama industri yang mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.
“Keterjaminan makanan, penggunaan teknologi pertanian serta pemodenan industri makanan menjadi antara fokus utama lawatan berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Baiyun Guangzhou.
Dexter berkata perubahan dalam rantaian bekalan makanan global menuntut usaha berterusan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran tempatan, memperkukuh bekalan makanan serta membangunkan sektor pertanian secara mampan.
Katanya, Sabah mempunyai asas dan potensi besar dalam sektor pertanian, perikanan serta pengeluaran makanan yang boleh diperkasakan menerusi penerapan teknologi moden, perkongsian kepakaran dan akses kepada rangkaian pasaran antarabangsa.
Sehubungan itu, delegasi berkenaan dijadual mengadakan interaksi dengan jabatan kerajaan, institusi industri dan syarikat berkaitan di China bagi meninjau perkembangan sektor pertanian dan perikanan moden.
“Pertemuan itu turut membuka peluang meneroka kerjasama dalam bidang pemindahan teknologi, pelaburan industri dan perdagangan, sekali gus meningkatkan kecekapan pengeluaran serta daya saing industri tempatan.
“Kerajaan Sabah dan MCCC Sabah berharap inisiatif itu dapat memperluas hubungan sektor pertanian, perikanan dan industri makanan negeri dengan pasaran antarabangsa, selain memperkukuh keterjaminan makanan,” katanya.
Dexter berkata lawatan itu turut menyediakan platform penting kepada wakil kerajaan, pemimpin dewan perniagaan dan usahawan Malaysia serta China untuk membina jaringan perniagaan dan mengenal pasti peluang kerjasama.
Menurutnya, Guangzhou yang merupakan antara hab perdagangan dan ekonomi utama dalam Greater Bay Area mempunyai rangkaian industri yang luas, pasaran besar serta hubungan perdagangan antarabangsa yang kukuh.
Beliau berharap lawatan itu dapat membantu syarikat Sabah meneroka peluang menembusi pasaran Greater Bay Area, mendapatkan rakan strategik di China serta memperluas saluran pemasaran produk tempatan.
Inisiatif berkenaan juga dijangka membuka lebih banyak peluang kerjasama perdagangan dan pelaburan rentas sempadan, sekali gus memperkukuh hubungan ekonomi Sabah-China.






























