KOTA KINABALU: Syarikat-syarikat dalam sektor pengangkutan darat barangan dan pengangkutan darat awam di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan digesa membuat pendaftaran segera di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi memastikan mereka terus menerima manfaat subsidi diesel yang disediakan Kerajaan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, penggunaan wajib fleet card SKDS untuk mendapatkan subsidi diesel bagi kedua-dua sektor itu akan dikuatkuasakan pada satu tarikh yang akan diumumkan kelak.
“Sehubungan itu, syarikat-syarikat bagi kedua-dua sektor ini adalah digesa untuk membuat pendaftaran SKDS pada kadar segera. Ini penting bagi membolehkan kenderaan syarikat yang tersenarai di bawah 33 jenis kenderaan yang layak didaftarkan di bawah SKDS terus boleh menerima subsidi diesel,” katanya pada Majlis Penyerahan Fleet Card SmartPay PETRONAS di Kepayan, di sini, hari ini yang melibatkan sebahagian syarikat pengangkutan darat barangan yang telah mendapat kelulusan pendaftaran SKDS dan menerima fleet card untuk kenderaan berdaftar.
Armizan berkata, pendaftaran permohonan menyertai SKDS bagi pelaksanaan penyaluran subsidi bahan api diesel untuk sektor pengangkutan darat barangan telah diperluaskan ke Sabah, Sarawak dan WP Labuan bermula 4 Mei 2026.
Katanya, penyaluran subsidi bahan api bagi sektor pengangkutan darat awam pula telah dibuka sejak Jun 2024.
Setakat 14 Jun 2026, sebanyak 8,060 syarikat dengan 29,631 kenderaan telah berdaftar di bawah SKDS di ketiga-tiga wilayah berkenaan.
Daripada jumlah itu, Sabah merekodkan 3,922 syarikat dengan 14,415 kenderaan, Sarawak sebanyak 3,869 syarikat dengan 14,447 kenderaan, manakala WP Labuan mencatatkan 269 syarikat dengan 769 kenderaan.
Armizan berkata, pendaftaran SKDS membolehkan syarikat yang berkelayakan menikmati subsidi diesel melalui mekanisme fleet card pada kadar RM2.15 seliter bagi sektor pengangkutan darat barangan dan RM1.88 seliter bagi sektor pengangkutan darat awam.
“Peluasan SKDS merupakan pendekatan untuk menangani isu ketirisan subsidi bahan api diesel melalui mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan secara digital,” katanya.
Beliau berkata, penggunaan fleet card memastikan subsidi dimanfaatkan sepenuhnya oleh kumpulan sasar sekali gus mengekang ketirisan subsidi diesel melalui aktiviti penyeludupan, penyelewengan dan penyalahgunaan subsidi oleh warga asing serta pendatang tanpa izin.
Menurut beliau, kerajaan membelanjakan kira-kira RM2 bilion setahun bagi subsidi diesel di Sabah dan Sarawak pada tahun 2025.
Katanya, bagi tahun 2026, jumlah subsidi yang ditanggung kerajaan terus meningkat berikutan krisis tenaga susulan konflik Asia Barat dan harga minyak dunia yang tinggi.
“Pada Januari 2026, subsidi diesel yang dibelanjakan untuk Sabah dan Sarawak ialah RM103 juta, manakala RM106 juta pada Februari. Namun sejak bermulanya konflik pada 28 Februari lalu, implikasi subsidi diesel bagi kedua-dua wilayah ini meningkat kepada RM563 juta pada Mac dan RM647 juta pada April,” katanya.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan subsidi diesel bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini sehingga April telah mencecah RM1.4 bilion.
“Kerajaan akan terus menanggung lonjakan bil subsidi bahan api ini selagi mana harga minyak dunia masih berada pada tahap tinggi dan krisis tenaga berlarutan,” katanya.
Armizan menegaskan Kerajaan komited untuk terus menyalurkan subsidi diesel kepada rakyat dan industri secara bersasar sebagai langkah intervensi dan mitigasi dalam menangani peningkatan kos sara hidup serta kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.
“Pada masa yang sama, penyaluran subsidi secara bersasar perlu dilaksanakan sebagai mekanisme pengurusan risiko ketirisan selain meningkatkan ketangkasan penguatkuasaan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa senarai 33 jenis kenderaan yang layak serta permohonan pendaftaran SKDS boleh dirujuk melalui portal MySubsidi.




























