M. Kumar (tengah) menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas antara Ibrahim Mat Som dan M. Kumarasan di IPD Iskandar Puteri, Johor Bahru.
ISKANDAR PUTERI: Polis negeri ini akan mengemukakan surat cadangan kepada Bukit Aman bagi mendapatkan perintah tahan kerja terhadap dua anggotanya yang disyaki terlibat dalam dua kes pemerasan di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar telah mengarahkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) untuk menghantar surat itu kelmarin terhadap dua anggota polis di BSI sehingga siasatan dilengkapkan dan diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya.
“Bagi tindakan tahan kerja, kita perlu dapatkan arahan daripada Bukit Aman. Justeru, saya bagi arahan kepada JIPS untuk buat surat kepada Bukit Aman bagi mendapatkan perintah tersebut.
“Pada masa ini, kedua-dua anggota polis itu masih dalam tahanan reman bagi melengkapkan siasatan, kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya sebaik ia dilengkapkan,” katanya pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, di sini kelmarin.
Pada majlis itu, pemangku Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Ibrahim Mat Som menyerahkan tugas Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri kepada Asisten Komisioner M. Kumarasan.
Pada 5 April lalu, dua anggota polis yang bertugas di BSI ditahan kerana melakukan pemerasan terhadap seorang mangsa dengan meminta membayar RM2,000 bagi tidak mengambil tindakan kerana mempunyai rekod kesalahan lampau dalam kejadian awal bulan ini.
Mereka ditahan sekali lagi, Sabtu bagi perbuatan sama terhadap seorang mangsa berusia 50 tahun yang didakwa diugut suspek ketika berada di BSI, 4 Januari lalu.
Kumar menyeru orang awam supaya segera melaporkan sekiranya terdapat pegawai dan anggota polis yang terlibat dalam elemen rasuah atau pemerasan.
“Polis Johor tidak akan berkompromi berkaitan isu integriti, kita tidak mahu mahu segelintir yang melakukan kesalahan ini mencemar imej Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.


































