TOKYO: Dua helikopter pasukan tentera maritim Jepun terhempas semasa sesi latihan di luar Kepulauan Izu di Lautan Pasifik, mengorbankan seorang anak kapal dengan tujuh lagi masih hilang.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pertahanan, Minoru Kihara berkata, dua helikopter peronda SH-60 sedang menjalankan latihan anti-kapal selam pada malam Sabtu apabila terputus hubungan kira-kira 270 kilometer ke timur Torishima.
Katanya, seorang anak kapal diselamatkan tetapi kemudian disahkan meninggal dunia.
“Saya amat kesal dengan kejadian yang tidak disangka ini. Kami melakukan yang terbaik untuk mencari semua mangsa yang hilang.
“Lapan kapal Pasukan Pertahanan Diri Maritim Jepun (MSDF) dan lima pesawat, serta dua kapal Pengawal Pantai Jepun terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat,” katanya.
Menurut Kihara, punca nahas sedang disiasat selepas perakam penerbangan dua helikopter itu ditemukan.
“Perakam penerbangan ditemui dalam jarak yang berdekatan antara satu sama lain dan kemungkinan besar kedua-dua helikopter itu berlanggar,” tambahnya.
Semua penerbangan latihan dengan helikopter SH-60K sudah digantung dan Ketua Staf MSDF, Yoshitaka Sakai memaklumkan beliau percaya tiada penglibatan dari negara luar dalam nahas itu kerana pihaknya tidak mengesan kapal atau pesawat lain di perairan berhampiran.


































