Rumah Johnson diserbu polis berdasarkan maklumat diperoleh menerusi aplikasi Find My di iPhone.
COLORADO: Seorang juri menganugerahkan pampasan sebanyak AS$3.76 juta (RM17.79 juta) kepada seorang warga emas di Denver selepas polis tersilap menyerbu rumahnya untuk mencari barang yang dicuri.
Rumah wanita berusia 78 tahun itu diserbu oleh sepasukan polis berdasarkan `maklumat palsu’ yang diperoleh menerusi aplikasi Find My di iPhone yang digunakan untuk mengesan barang curi itu.
Ketika serbuan itu, Ruby Johnson yang berpakaian jubah mandi dipaksa keluar dari rumahnya dan diminta menunggu di dalam kereta polis.
Lapor BBC, juri mendapati serbuan pada 4 Januari 2022 dijalankan tanpa sebab yang munasabah dan melanggar hak Perlembagaan individu berkenaan.
Warga emas itu diberikan pampasan termasuk ganti rugi sebanyak AS$1.26 juta (RM5.96 juta) dan ganti rugi punitif berjumlah AS$2.5 juta (RM11.83 juta).
Polis Denver mengeluarkan waran geledah sehari selepas sebuah trak didakwa dicuri dari garaj parkir hotel.
Berdasarkan laporan NBC News, pemilik kenderaan yang menginap di hotel memberitahu polis bahawa trak itu mengandungi enam senjata api, dua dron, wang tunai berjumlah AS$4,000 (RM18,930) dan Iphone 11.
Individu itu juga memaklumkan bahawa dia menggunakan aplikasi Find My untuk mengesan telefon tersebut yang menunjukkan lokasi berhampiran kediaman Johnson.
Seorang detektif dan sarjan menggunakan pengesan itu untuk mendapatkan waran geledah, yang diluluskan oleh Pejabat Peguam Daerah Denver.
Pasukan polis yang mengenakan peralatan Swat dengan membawa senjata melakukan serbuan di kediaman Johnson.
“Mereka tidak menemukan sebarang barang curi itu namun dalam proses itu memecahkan pintu garajnya, sebuah anak patung koleksi terhad dan memusnahkan rumahnya,” jelas laporan.
































