Suasana di lokasi tanah runtuh sebuah lombong dekat Jalan Sungai Kelambu, Banting di Kuala Langat, Selangor, kelmarin.
KUALA LANGAT: Seorang lelaki maut selepas tertimbus dalam insiden tanah runtuh di sebuah lombong di Jalan Sungai Kelambu, Banting di sini, kelmarin.
Mangsa berusia 38 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat tertimbus pada paras dada.
Menurut Utusan Malaysia, Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, sepasukan enam anggota dan pegawai serta sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 12.34 tengah hari kelmarin.
“Pemeriksaan lanjut mendapati seorang lelaki tertimbus paras dada dalam tanah runtuh di lombong tersebut.
“Mangsa kemudian berjaya dibawa keluar oleh anggota bomba dalam tempoh 15 minit,” katanya kepada pemberita, kelmarin.
Tambah Ahmad Mukhlis, lelaki itu disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dan mayatnya dibawa ke hospital berdekatan.
.































