Armizan Mohd. Ali melancarkan Kampung Fresh Market di Dengkil, Selangor.
DENGKIL: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperluaskan Projek Rintis Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0) kepada sektor pengangkutan darat (barangan) yang akan bermula hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, Fasa II Projek Rintis SKDS 2.0 itu akan dilaksanakan dalam tempoh sebulan membabitkan kerjasama dengan lima buah syarikat minyak.
Beliau berkata, terdapat sembilan jenis kenderaan yang terlibat dalam sektor pengangkutan darat (barangan) iaitu lori kargo am, lori tangki tepung, lori minuman botol dan lori tangki air.
“Jenis kenderaan lain termasuk lori refrigerated, panel van, lori luton/kotak, window van dan penggerak utama,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, permohonan boleh dibuat mulai pukul 9.00 pagi esok melalui Sistem MySubsidi Diesel KPDN di pautan
https://mysubsidi.kpdn.gov.my/.
Armizan berkata, beberapa syarat dikenakan di mana syarikat itu hendaklah berdaftar di Malaysia,
kenderaan barangan adalah milik syarikat pemohon, kenderaan barangan hendaklah mempunyai cukai jalan sah dan kenderaan barangan dalam sembilan jenis kenderaan yang disenaraikan terlibat dalam Fasa II Projek Rintis.
Menurutnya, sebaik berjaya mendapat kelulusan dibawah Sistem MySubsidi Diesel KPDN, proses selanjutnya syarikat-syarikat Sektor Pengangkutan Darat (Barangan) berkenaan boleh mendapatkan Fleet Card daripada syarikat minyak pilihan untuk pembelian diesel bersubsidi.
“Mekanisme menggunakan Fleet Card ini adalah antara usaha untuk beralih daripada kaedah manual ke teknologi digital dalam mengawal selia barang bersubsidi yang dipertanggungjawabkan di bawah KPDN.
“Perluasan penggunaan Fleet Card kepada Sektor Pengangkutan Darat (Barangan) di bawah Fasa II Projek Rintis SKDS 2.0 adalah bagi menambah baik kaedah kawal selia dalam pemberian diesel bersubsidi kepada kenderaan yang layak,” katanya.
Katanya, KPDN dan Kementerian Kewangan (MOF) juga sedang meneliti untuk memperluas projek rintis itu kepada jenis-jenis kenderaan sektor pengangkutan darat (barangan) lain yang bersesuaian.
Jelasnya lagi, kaedah digital ini juga dapat membantu mengurangkan kos kawalan dan penguatkuasaan yang dibuat secara fizikal.
Armizan berkata, pihaknya menjangkakan Sistem Fleet Card itu akan dapat dimulakan pada awal April ini.
Fasa I Projek Rintis SKDS 2.0 telah berjaya dilaksanakan sejak Januari 2024 yang melibatkan enam syarikat perintis dalam sektor pengangkutan darat (barangan).
Sebagai rekod, kerajaan menanggung jumlah subsidi diesel sebanyak RM14.3 bilion tahun lalu.































