Keadaan motosikal yang terlibat dalam kemalangan itu.
PENAMPANG: Seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Papar–Kota Kinabalu berhampiran Kampung Meruntum, Putatan, malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Erwansyah Abdul Basir berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian yang berlaku di Kilometer 14.6 jalan berkenaan pada jam 11.10 malam, 2 Jun lalu.
“Hasil siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada penunggang motosikal yang melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda.
“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal tercampak ke lorong paling kanan jalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.
Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk tujuan bedah siasat.
“Manakala pemandu dan seorang penumpang kenderaan pacuan empat roda tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Erwansyah berkata, siasatan polis turut mendapati kenderaan pacuan empat roda itu yang ditinggalkan pemandunya kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi kemalangan telah dibakar oleh individu tidak dikenali.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, polis meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-8095133.
“Pihak polis juga meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan gambar di lokasi kejadian bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa,” katanya.
































