Anwar Ibrahim
PETALING JAYA: Pelaburan langsung sebanyak RM329.5 bilion yang diraih Malaysia tahun lalu akan memberi kesan kepada ekonomi negara dalam masa terdekat.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, namun usaha kerajaan Madani tidak akan berhenti setakat di situ sahaja.
Menurut beliau, lebih banyak pelaburan baharu sedang diusahakan kerajaan di bawah Kerangka Ekonomi Madani yang disokong oleh Pelan Hala Tuju Peralihan Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 bagi menjayakan transformasi ekonomi.
“Industri-industri baharu seperti keterjaminan makanan, ekonomi digital dan tenaga boleh baharu ini akan menarik minat lebih ramai pelabur serta merancakkan ekonomi negara. Walhasil, manfaatnya akan dikecapi rakyat.
“Saya tahu keadaan hari-hari ini sangat mencabar untuk ramai orang. Yakinlah bahawa Kerajaan Madani peka akan rintihan kalian. Saya mendengar kalian,” katanya dalam kenyatan hari ini.
Minggu lalu, kerajaan mengumumkan sebanyak RM329.5 bilion jumlah pelaburan diluluskan pada tahun lepas iaitu meningkat 23 peratus berbanding tahun sebelumnya sekali gus menyaksikan ia adalah pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah negara.
Pelaburan asing menjadi penyumbang utama iaitu sebanyak 57.2 peratus berbanding pelaburan domestik 42.8 peratus dan juga disokong oleh peningkatan sebanyak 35.1 peratus bagi pelaburan domestik dan sebanyak 15.3 peratus bagi pelaburan asing.
Menurut Anwar, pelaburan langsung baharu itu sama ada domestik atau antarabangsa membawa makna melangkaui daripada sekadar pekerjaan baharu.
“Pelabur-pelabur ini memberi tanda keyakinan terhadap negara kita, keyakinan yang amat mencukupi untuk bukan sahaja melaburkan wang mereka di sini, bahkan melabur kepada kalian untuk dikongsi dengan semua serta dikembangkan berganda-ganda.
“Pelaburan baharu bermaksud matlamat baharu, pendekatan segar untuk mencapai kemajuan ekonomi, serta peluang baharu bagi lebih ramai rakyat Malaysia melonjakkan tahap pemikiran dan kemahiran agar menjadi berdaya saing dalam ekonomi abad ke-21,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, beliau berikrar untuk tidak berputus asa berjuang demi rakyat selagi hayat dikandung badan.
“Sebagai Perdana Menteri, saya telah diamanahkan untuk melunaskan janji reformasi yang saya laungkan selama ini. Banyak yang kerajaan perlu lakukan untuk merubah kebobrokan dalam institusi negara dan ekonomi serta mengangkat darjat kehidupan rakyat,” katanya.


































