Mohd. Nasir Deraman (tiga kiri) menunjukkan kain sarung yang dirampas oleh JKDM Sabah semasa sidang akhbar di Kota Kinabalu, hari ini.
KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas kain sarung batik dan kain pelikat tidak bercukai bernilai RM1.64 juta di sebuah gudang di Jalan Kolombong Januari lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Mohd. Nasir Deraman berkata, pihaknya turut menahan seorang wanita warga China berusia 30-an semasa serbuan dilakukan di gudang berkenaan kira-kira pukul 5 petang, pada 5 Januari lalu.
Beliau berkata, serbuan yang dilakukan hasil risikan Pasukan Tempur Medan Operasi Kastam (Cobra) itu menemukan 439 guni yang mengandungi kain sarung yang disyaki tidak mematuhi Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
“Pemeriksaan lanjut menunjukkan sebanyak 175,600 helai kain sarung pelbagai corak dengan anggaran nilai RM1,635,318 juta dengan melibatkan cukai jualan berjumlah RM163,531.89.
“Semasa serbuan dilakukan, seorang warga China turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam sidang akhbar, di Wisma Penguatkuasaan Kastam, di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kesemua 439 guni diimport masuk daripada China itu diisytiharkan sebagai ‘garments fabrics’ atau kain ela.
Namun, apabila diperiksa barang yang diisytiharkan berbeza dengan barangan yang dibawa masuk.
Katanya, modus operandi bagi kes ini adalah dengan menggunakan kod tarif yang lain bagi deskripsi barang yang tidak betul pada borang diisytiharkan kepada Kastam.
“Berdasarkan rekod, ini adalah cubaan pertama kerana belum ada kes seumpama ini direkodkan oleh Kastam. Malah, kita jangka barang yang dibawa masuk ini adalah untuk pasaran di Sabah,” katanya.
Menurut beliau, peranan lelaki warga China dalam pengimportan barangan tersebut masih dalam siasatan.
“Kesemua barang dagangan ini telah ditahan dan disita dan kes ini masih dalam siasatan lanjut dan kertas siasatan akan dikemukakan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Jabatan bagi tindakan selanjutnya selepas siasatan selesai.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967,” katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat.


































