Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menyokong hasrat kerajaan mengambil langkah penjimatan yang drastik dan melaksanakan pemberian subsidi secara bersasar.
Menurut Utusan Malaysia, Sultan Ibrahim bertitah, Seri Paduka berasa amat kecewa apabila dimaklumkan bahawa kerajaan hari ini sedang menanggung beban hutang yang semakin besar kerana sejak tahun 1998 sentiasa berada dalam kedudukan defisit fiskal.
“Adakah beban hutang ini yang akan kita tinggalkan untuk ditanggung oleh anak cucu kita nanti?
“Dengan keadaan kewangan Kerajaan yang lemah ini, adalah sukar untuk kerajaan melaksanakan projek pembangunan baharu atau memberikan suntikan kewangan untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi.
“Oleh itu, saya menyokong hasrat kerajaan untuk mengambil langkah penjimatan yang drastik dan melaksanakan pemberian subsidi secara bersasar,” titah Seri Paduka dalam titah diraja Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Majlis Parlimen Ke-15.
Seri Paduka justeru itu bertitah, dasar-dasar baharu perlu terus diperkenalkan untuk melengkapi dasar-dasar nasional lain seiring dengan pendekatan negara yang lebih menyeluruh.
Titah Sultan Ibrahim, antaranya pengenalan kepada Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang merupakan inisiatif pembaharuan fiskal bagi meningkatkan tatakelola, kebertanggungjawaban dan ketelusan dan pengurusan kewangan awam.
Sultan Ibrahim bertitah, Seri Paduka sendiri akan melihat perbelanjaan kerajaan dengan lebih teliti dan memastikan setiap cadangan perbelanjaan adalah untuk perkara yang betul-betul diperlukan.
“Saya berharap semasa pemerintahan saya ini, kerajaan akan berjaya memperoleh lebihan fiskal setiap tahun,” katanya.
Titah Seri Paduka, kedudukan ekonomi Malaysia pada 2023 telah berkembang 3.7 peratus dan kekal mampan walaupun prestasi pertumbuhan ekonomi dan perdagangan global berada pada tahap sederhana di samping itu, kadar pengangguran negara berada pada tahap 3.3 peratus pada 2023 dan kadar inflasi sebanyak 2.5 peratus sepanjang tahun lalu.
“Jumlah pelaburan yang diluluskan pada 2023 adalah sebanyak RM329.5 bilion dan telah mencipta lebih 127,000 peluang pekerjaan dalam tempoh yang sama. Bagi perdagangan antarabangsa pula, eksport negara telah mencatat nilai sebanyak RM1.426 trilion pada 2023.
“Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara pada tahun 2024 diunjurkan berada pada tahap antara empat peratus hingga lima peratus disokong oleh langkah dan pembaharuan yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2024 tempoh hari,” titah Sultan Ibrahim.
Dalam pada itu, Seri Paduka bertitah, kerangka Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat sebagai langkah jangka sederhana yang telah dilancarkan merupakan komitmen kerajaan untuk merancakkan dan menstruktur semula aktiviti ekonomi serta pelaburan.
Titah Sultan Ibrahim, beberapa dokumen utama telah diperkenalkan selari dengan hasrat berkenaan iaitu Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas dan Belanjawan 2024 bakal mengangkat taraf hidup rakyat ke tahap lebih tinggi dan sejahtera berlandaskan keadilan sejagat.
“Saya juga amat berharap agar kerajaan mengambil pendekatan yang proaktif dalam melaksanakan agenda pembaharuan untuk memperkukuh daya saing negara sebagai sebuah ekonomi yang mampan sejajar dengan keperluan semasa,” titah Seri Paduka.
Sultan Ibrahim bertitah, kerajaan juga perlu menyediakan insentif yang menarik dan memudahkan segala urusan melalui tadbir urus yang cekap.
“Polisi yang dibuat di peringkat Persekutuan juga hendaklah disesuaikan dengan keadaan persekitaran di negeri-negeri kerana setiap negeri mempunyai keadaan yang berbeza-beza, terutama dalam sektor pembangunan hartanah,” titah Seri Paduka.
































