Rphana Abdullah menunjukkan gambar suaminya yang maut dalam kemalangan di Kampung Padang Licin, Pasir Mas-Rantau Panjang, Kelantan.
RANTAU PANJANG: Seorang peniaga belut maut selepas gerainya dirempuh sebuah kereta jenis Perodua Viva dalam kejadian di jalan Pasir Mas-Rantau Panjang berhampiran Kampung Padang Licin di sini kelmarin.
Dalam kejadian pukul 5 petang itu, mangsa Mohd. Arif Said, 44, maut dilokasi akibat kecederaan parah.
Selain itu, pemandu kereta Perodua Viva dan Perodua Myvi turut mengalami kecederaan akibat kemalangan tersebut.
Menurut Utusan Malaysia, isteri mangsa, Rohaya Abdullah, 45, berkata, kejadian yang menimpa suaminya itu diketahui selepas dimaklumkan oleh kakak iparnya.
“Awalnya saya fikir kemalangan itu biasa dan sempat singgah di lokasi kejadian. Namun, ketika itu suami sudah dibawa ke Hospital Pasir Mas.
“Sebaik sahaja tiba di Hospital Pasir Mas, saya terkejut mendapati suami sudah meninggal dunia,” katanya ditemui pemberita di Unit Perubatan Forensik Hospital Pasir Mas kelmarin.
Rohaya memberitahu, kali terakhir dia berbual dengan suaminya tengah hari kelmarin semasa bersiap untuk berniaga belut.
Katanya, sepanjang tempoh itu arwah tidak menunjukkan kelakuan pelik kecuali suami berubah menjadi pendiam.
“Semasa saya mengajaknya untuk membeli pakaian sekolah anak-anak, dia hanya mendiamkan diri.
“Sebelum ini, suami antara yang
paling teruja setiap kali membeli pakaian sekolah anak,” ujarnya.
Rohaya memberitahu, tiga bulan lalu, gerai milik suami nyaris dirempuh kenderaan namun arwah sempat mengelak.
Katanya, jenazah akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Tok Sangkut.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.
































