Tangkap layar video Nerd Harris mengenakan kumpulan scammer di laman YouTube.
NEW YORK: Seorang pempengaruh mendapat perhatian media selepas menggunakan saluran YouTube miliknya untuk mengenakan kumpulan scammer dalam talian dan mendedahkan identiti mereka.
Neld Harris, nama samaran pencipta kandungan di sebalik saluran ScamSandwich, membina kerjaya dalam mendedahkan pelbagai penipu dalam talian dan kemudian membalas perbuatan jahat itu dengan menggodam peranti mereka.
Saluran YouTube itu mengandungi berpuluh-puluh video yang mendapat berjuta-juta tontonan dan tanda suka pengguna platform tersebut sejak mula dimuat naik pada Januari tahun lalu.
Menurut Utusan Malaysia, The New York Post melaporkan, Youtuber itu menyamar sebagai seorang janda berusia 80 tahun dari Dallas dan melayani permintaan kumpulan scammer sebelum menghantar perisian hasad (malware) yang dapat mengambil alih komputer mereka dan mendedahkan wajah serta maklumat disimpan penjenayah itu.
“Harris mengumpan kumpulan penipu ke dalam situasi yang tidak masuk akal menggunakan perisian pengubah suara, kad bank dan penebusan kad hadiah palsu. Harris akan melayani kehendak mereka.
“Dalam videonya, Harris sering diminta oleh penipu untuk pergi ke CVS atau Walmart dan membeli kad hadiah bernilai ribuan dolar. Dia berpura-pura melakukan semua ini dan kemudian menghantar resit palsu kepada penipu itu sambil bertanya pelbagai soalan selama berjam-jam.
“Harris kemudian menggodam komputer si penipu, memusnahkan semua data milik mereka menggunakan virus yang sangat berbahaya. Dia juga menguasai kamera web sebelum mendedahkan wajah mereka secara langsung kepada dunia serta memalukan penipu itu secara terbuka,” jelas laporan itu.
Harris juga mengakui sudah membuat beberapa laporan polis selepas berjaya mengesan lokasi penipu itu yang kebanyakannya dari bandar di India dan Afrika Barat.
Menurut Persatuan Pesara Amerika Syarikat (AARP), penduduk berumur lebih 60 tahun ditipu sebanyak AS$28.3 bilion (RM135.15 bilion) setiap tahun, dengan hanya satu daripada 10 penipuan dilaporkan kepada pihak berkuasa.


































