ALOR SETAR: Masalah jerebu rentas sempadan masih menjadi cabaran utama ASEAN yang perlu dihadapi dan ditangani secara bersama kerana ia bukan sekadar isu alam sekitar tetapi berkait rapat dengan perubahan iklim, daya tahan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.
Menurut Utusan Malaysia, Pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ASEAN perlu memastikan tindak balas terhadap isu itu bukan bersifat reaktif semata-mata sebaliknya bersifat pencegahan dan berterusan seiring komitmen terhadap pelaksanaan Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Merentasi Sempadan (AATHP).
Katanya, aspirasi ‘ASEAN Bebas Jerebu’ menjelang 2030 bukan sahaja sejajar dengan komitmen alam sekitar serantau malah menyumbang kepada matlamat global pengurangan pelepasan karbon, pemeliharaan biodiversiti dan pembangunan mampan.
“Komitmen ASEAN terhadap pelaksanaan AATHP perlu diperkukuh dengan kemahuan politik yang konsisten, bukan hanya semasa krisis tetapi sepanjang masa dan sains perlu menjadi asas utama dalam pembentukan dasar.
“Keputusan berlandaskan data yang sahih dan kepakaran yang dipercayai akan memastikan tindakan yang tepat serta membawa hasil yang nyata dan berkekalan,” katanya yang juga Presiden Persidangan Pihak-Pihak kepada AATHP sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar ASEAN (AMME) di sini, kelmarin.
Menurut Johari, insiden jerebu besar pada 1997, 2006, 2015 dan 2023 yang berpunca daripada aktiviti pembersihan tanah, pembesaran pertanian serta fenomena iklim semula jadi mengingatkan semua pihak tentang cabaran besar yang dihadapi.
Katanya, Malaysia sendiri masih mengalami kejadian jerebu pada Julai lalu yang membuktikan bahawa meskipun telah mencapai kemajuan, namun tugas untuk mengatasi cabaran alam sekitar itu masih terlalu jauh.
“Kepentingan usaha kita tidak boleh dipandang ringan, walaupun terdapat tahun-tahun di mana kejadian jerebu kurang serius, kita tidak boleh leka,” katanya.
Sehubungan itu, Johari mengajak negara-negara anggota ASEAN untuk memperkukuh kerjasama serantau dengan rakan dialog, agensi pembangunan dan institusi antarabangsa kerana kolaborasi yang lebih erat, perkongsian pengetahuan dan pembiayaan inovatif amat penting bagi menyokong pencegahan, amaran awal, mitigasi dan pembangunan kapasiti.
“Menjelang 2030, marilah kita ingat bahawa ‘ASEAN Bebas Jerebu’ bukan sekadar aspirasi, tetapi tanggungjawab bersama terhadap rakyat, ekosistem dan generasi masa depan kita. Cabaran serantau memerlukan penyelesaian serantau berlandaskan semangat solidariti ASEAN,” katanya.
Ketika sidang akhbarnya, Johari menyatakan masalah itu masih terkawal dan tidak menimbulkan suasana panik namun tetap memerlukan kolaborasi ASEAN dengan setiap negara memainkan peranan masing-masing tanpa bergantung kepada negara Pengerusi sepenuhnya.
Sementara itu, beliau memaklumkan ASEAN bersetuju mewujudkan tujuh jawatankuasa kecil yang memberi peluang kepada beberapa negara ASEAN mengetuainya seperti Filipina yang bertanggungjawab terhadap pesisir pantai dan alam sekitar marin.
“Malaysia sendiri mengetuai jawatankuasa berkaitan pemuliharaan alam semula jadi dan kepelbagaian biologi serta bahan kimia dan sisa buangan manakala Laos bertanggungjawab terhadap pengurusan sumber air, diikuti Kemboja (bandar mampan alam sekitar); Singapura dan Thailand (perubahan iklim) serta Vietnam (pendidikan alam sekitar serta penggunaan dan pengeluaran mampan),” katanya.


































