Zara Qairina Mahathir
KOTA KINABALU: Kecederaan yang terdapat pada tubuh pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir adalah konsisten dengan kecederaan akibat jatuh dari tempat tinggi tetapi tidak disebabkan ditolak atau terjatuh secara tiba-tiba.
Menurut Utusan Malaysia, Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr. Jessie Hiu @ Jessie Dorey Hiu Chen Chen, yang merupakan saksi pertama inkues bagi mencari punca kematian remaja terbabit membuat dapatan tersebut berdasarkan kecederaan dan pemeriksaan di Blok Rabiatul Adawiyah, Asrama Qurratua’yun Sekolah Menengah kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha Limauan (TDML), Kinarut.
Dr. Hiu merupakan salah seorang daripada empat pakar patologi yang terlibat dalam bedah siasat mayat remaja berkenaan selepas kuburnya digali semula.
“Pemeriksaan lokasi telah dijalankan pada 2 Ogos 2025 bermula pukul 12.30 tengah hari di asrama si mati. Ukuran dari lantai ke rel besi mendatar paling atas yang dipasang pada pagar konkrit di tingkat tiga ialah 118 sentimeter (cm). Saya dimaklumkan bahawa ketinggian si mati ialah 154cm.
“Perbezaan antara ketinggian si mati dan rel besi mendatar paling atas ialah 36cm. Ketinggian rel besi tersebut adalah lebih daripada tiga perempat ketinggian si mati dan kemungkinan melebihi pusat graviti beliau. Bagi wanita, pusat graviti secara umumnya terletak di kawasan pelvis, selalunya di bawah pusat sedikit ketika berdiri.
“Berdasarkan ukuran ini, pada pendapat saya, adalah tidak mungkin si mati jatuh secara tidak sengaja atau ditolak dari posisi berdiri bersebelahan pagar konkrit di koridor.
“Berdasarkan ketinggian dan lebar pagar konkrit, ketinggian rel besi mendatar serta ketinggian si mati, terdapat kemungkinan si mati (Zara Qairina) memanjat ke atas pagar konkrit, melepasi rel besi dan berdiri di atas pagar konkrit tersebut,” katanya ketika memberi membaca penyataan saksinya di Mahkamah Koroner di sini kelmarin.
Selain itu, Dr. Hiu memberitahu kecederaan yang terdapat pada tubuh badan tidak sepadan dengan kecederaan akibat didera (chronic physical abuse) atau diserang (assaulted).
Tambah pakar patologi tersebut, rekonstruksi berdasarkan kecederaan menunjukkan bahawa Zara Qairina jatuh ke belakang selepas mendarat pada kaki kiri terlebih dahulu diikuti dengan kaki kanan menyebabkan kecederaan lebih teruk pada tumit dan tulang kaki kiri.
“Selepas impak, beliau jatuh ke belakang terutamanya ke bahagian kiri badan menyebabkan kecederaan pada pergelangan tangan kiri, lengan bawah kiri, siku kiri dan belakang kepala. Daya hentakan yang berlaku semasa pendaratan pada bahagian bawah badan menyebabkan tulang belakang keempat hingga kedua patah.
“Impak pada belakang kepala menyebabkan pendarahan di permukaan otak. Pendarahan ini menyebabkan bengkak otak dan seterusnya menyebabkan kekurangan aliran darah dan oksigen ke otak akibat bengkak otak sebelum kematian,” kata Dr. Hiu.
Pada prosiding kelmarin juga, sebanyak 172 keping gambar mayat Zara Qairina yang diambil sewaktu bedah siasat dilakukan.






























