Rakaman menunjukkan pelancong Sepanyol minum bir popular tempatan, Tusker, sebelum memberikan baki minuman kepada gajah.
NAIROBI: Beberapa siasatan dibuka selepas seorang lelaki warga Sepanyol memuat naik video dirinya menuang arak ke dalam belalai seekor gajah, yang mencetuskan kemarahan di media sosial.
Menurut Utusan Malaysia, rakaman itu menunjukkan lelaki terbabit berada di kawasan perlindungan hidupan liar dan minum bir popular tempatan, Tusker, sebelum memberikan baki minuman itu kepada gajah tersebut.
“Sekadar Tusker dengan rakan bertaring,” tulisnya sebagai kapsyen pada klip video yang dimuat naik di Instagram.
Video tersebut kemudian dipadam daripada akaunnya selepas menerima kecaman rakyat Kenya di ruangan komen.
BBC mengesahkan kesahihan rakaman itu, dengan landskap dan seekor gajah jantan terkenal menunjukkan ia dirakam di OI Jogi Conservancy, di daerah tengah Laikipia.
Berdasarkan imej dan video lain yang dikongsi dalam talian, gajah tersebut didakwa sebagai Bupa, yang fotonya sering dikongsi pengunjung OI Jogi.
Seorang kakitangan di kawasan perlindungan hidupan liar persendirian terkejut dengan tindakan lelaki itu dan menegaskan video tersebut akan diserah kepada pihak berkuasa berkaitan.
“Ia tidak sepatutnya berlaku. Kami menjalankan usaha pemuliharaan dan tidak boleh membiarkan perkara sebegini,” kata kakitangan yang hanya dikenali sebagai Frank.
Sementara itu, jurucakap Perkhidmatan Hidupan Liar Kenya (KWS), Paul Udoto, turut mengesahkan menyiasat insiden tersebut.
Video di Instagram lelaki terbabit menerima ratusan komen kecaman, termasuk yang mencadangkan dia diusir dari negara, sebelum semua hantarannya dipadam.
Bupa diselamatkan daripada pembunuhan besar-besaran gajah di Zimbabwe pada 1989 dan dibawa ke kawasan konservasi itu ketika berusia lapan tahun.


































