Antara haiwan liar dan hidupan eksotik yang dirampas Perhilitan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 2024 hingga Mei lalu.
KUALA LUMPUR: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menjadi laluan bagi aktiviti penyeludupan hidupan liar yang daripada spesies tempatan dan haiwan eksotik.
Menurut Utusan Malaysia, statistik Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menunjukkan, sebanyak 5,059 ekor binatang liar bernilai RM6.18 juta telah dirampas sejak 2024 hingga Mei lalu.
Siasatan mendapati kegiatan itu dilakukan individu yang berperanan sebagai ‘keldai’ selepas diupah sindiket dengan bayaran mencecah RM1,000 bagi sekali penghantaran.
Difahamkan, binatang liar ini diletakkan di dalam ruangan khas beg sebelum melakukan proses daftar masuk bagasi.
Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, sebanyak 12 kes dicatatkan di KLIA sejak tahun 2024 hingga Mei lalu dengan rampasan sebanyak 5,059 ekor binatang liar bernilai RM6.18 juta.
Menurutnya, seramai 12 individu termasuk dua wanita berusia lingkungan 20 hingga 50-an telah ditahan.
“Melihat kepada statistik kes direkodkan di KLIA dan kes tangkapan oleh pihak berkuasa di lapangan terbang antarabangsa terutamanya di India mendapati KLIA dijadikan sebagai laluan bagi aktiviti penyeludupan hidupan liar yang diseludup membabitkan spesies tempatan dan juga eksotik.

Abdul Kadir Abu Hashim
“Hidupan liar ini dipercayai diperolehi daripada sumber tempatan dan spesies eksotik yang dibiakkan secara haram di dalam negara,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Menurutnya, ada antara haiwan yang diseludup masuk ke negara ini dari negara jiran sebelum hidupan liar berkenaan diseludup keluar melalui KLIA.
Jelasnya, pelbagai spesies dikesan diseludup melalui KLIA antaranya Red Eared Slider, African Spurred Tortoise, Pig-nose Turtle, Green Iguana (Iguana iguana), Green Tree Python (Morelia viridis).
“Selain itu, burung Sewah Tahu (Eudynamys scolopaceus) juga antara yang sering dikesan diseludup keluar, manakala spesies primat seperti Siamang (Symphalangus syndactylus) serta Ungka Tangan Putih (Hylobates),” katanya.
Menurutnya, spesies ini mendapat permintaan tinggi daripada peminat yang ingin memelihara hidupan liar eksotik sebagai haiwan peliharaan.
“Reptilia ini banyak diseludup keluar melalui KLIA kerana tahan lasak dan mudah disembunyikan di dalam bagasi daftar masuk,” katanya.
Beliau berkata, kebanyakan suspek yang ditangkap berperanan sebagai penghantar atau keldai.
Jelasnya, bayaran yang diterima sekitar RM400 hingga RM1,000 untuk sekali penghantaran tidak termasuk kos penginapan dan makan minum yang ditanggung oleh sindiket.
“Jabatan Perhilitan masih dalam siasatan untuk mengenal pasti dalang dan sindiket yang terlibat dalam jenayah penyeludupan ini,” ujarnya.


































