OSLO: Sebuah lubang benam (sinkhole) bersaiz ‘gergasi’ menelan sebahagian lebuh raya E6 dan landasan kereta api di Levanger, sebuah bandar kira-kira 500 kilometer di utara Oslo, mengorbankan seorang mangsa, menurut pihak berkuasa Norway pada hari Sabtu.
Menurut Utusan Malaysia, polis dalam kenyataan memaklumkan, seorang pekerja warganegara Denmark yang berada di lokasi ketika kejadian berlaku telah dilaporkan hilang dan disahkan maut.
Lubang itu, yang dianggarkan berukuran beberapa puluh meter, merosakkan kedua-dua laluan lebuh raya utama dan landasan yang terletak bersebelahan.
Syarikat awam yang bertanggungjawab mengurus infrastruktur rel Norway berkata, kerja-kerja penstabilan tanah sedang dijalankan ketika kejadian berlaku.
Namun, syarikat itu memaklumkan masih terlalu awal untuk menentukan sama ada kerja-kerja tersebut menjadi punca kejadian.
Menurut pakar geologi yang dipetik oleh agensi berita NTB, tanah liat yang membentuk struktur tanah di kawasan itu berkemungkinan menjadi faktor utama berlakunya lubang benam.
Dua buah rumah berhampiran lokasi kejadian telah diarahkan untuk berpindah sebagai langkah keselamatan.
Lebuh raya E6 dijangka akan ditutup selama beberapa hari di kawasan terjejas, menurut Pentadbiran Jalan Raya Norway.


































