Gambar Hiasan
PETALING JAYA: Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025 berkuat kuasa secara rasmi bermula kelmarin sebagai langkah kerajaan Madani memperkukuh sistem perundangan negara selaras keperluan semasa serta cabaran jenayah moden.
Menurut Utusan Malaysia, kedua-dua akta itu diluluskan di Dewan Rakyat pada 10 Disember 2024 dan di Dewan Negara pada 16 Disember 2024 dengan sokongan majoriti Ahli Parlimen.
Pindaan tersebut dirangka khusus bagi menangani isu buli secara lebih menyeluruh termasuk kes buli fizikal dan buli siber dengan memperkenalkan peruntukan undang-undang baharu bagi mengenakan tindakan lebih tegas terhadap pelaku.
Antara pindaan utama ialah pengenalan Seksyen 507B hingga Seksyen 507G dalam Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman setimpal terhadap kesalahan melibatkan komunikasi bersifat mengancam, menghina atau mencela yang boleh mengakibatkan gangguan emosi atau ketakutan kepada mangsa.
Selain itu, akta ini turut merangkumi kesalahan penyebaran maklumat peribadi tanpa izin atau ‘doxing’, yang kini diklasifikasikan sebagai jenayah serius dan boleh membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan berkata, penggubalan peruntukan ini adalah hasil penelitian terhadap kelemahan dalam undang-undang sedia ada yang sebelum ini didapati tidak mencukupi bagi menangani pelbagai bentuk ancaman psikologi dan emosi, terutamanya dalam persekitaran digital yang semakin mencabar.
Katanya, pelaksanaan kedua-dua akta ini bertujuan memperkemaskan prosedur perundangan sedia ada, meningkatkan kecekapan proses keadilan jenayah serta membolehkan tindakan lebih pantas dan tegas diambil terhadap mereka yang melanggar undang-undang.
“Kerajaan turut memberi jaminan bahawa penguatkuasaan undang-undang baharu ini akan dilaksanakan secara adil dan saksama tanpa menjejaskan hak kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan
“Dengan pelaksanaan akta ini, kerajaan Madani terus komited memastikan undang-undang negara kekal relevan dan responsif terhadap cabaran dunia digital semasa demi keselamatan, kesejahteraan dan keadilan kepada rakyat Malaysia,” ujarnya.
































