PENAMPANG: Polis Daerah Penampang berjaya menumpaskan satu kegiatan perjudian sabung ayam menerusi operasi khas Ops Dadu yang dijalankan di sebuah rumah kampung tanpa nombor di Kampung Buit Hills, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, serbuan dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang kira-kira jam 3 petang pada 14 Jun selepas menerima maklumat berhubung aktiviti berkenaan.
Menurutnya, lokasi tersebut disyaki digunakan sebagai tempat menjalankan aktiviti perjudian sabung ayam.
“Semasa serbuan dijalankan, beberapa individu yang berada di lokasi bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak polis.
“Bagaimanapun, hasil tindakan pantas pasukan serbuan, tiga lelaki warga tempatan berumur antara 24 hingga 40 tahun berjaya ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sammy berkata, dalam operasi itu polis turut merampas lapan ekor ayam hidup, satu gelung getah yang dipercayai digunakan sebagai gelanggang sabung ayam, beberapa peralatan berkaitan serta wang tunai berjumlah RM606.
Katanya, semua tangkapan dan barang rampasan telah dibawa ke IPD Penampang untuk siasatan lanjut.
“Hasil semakan mendapati kesemua tangkapan tidak mempunyai rekod sabitan jenayah lampau, manakala ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas mereka didapati negatif,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Enakmen Kebajikan Haiwan 2015 kerana disyaki melibatkan perbuatan penganiayaan haiwan melalui aktiviti sabung ayam.
“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Sammy menegaskan IPD Penampang akan terus mempergiat usaha penguatkuasaan dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti perjudian haram serta perbuatan yang melibatkan penganiayaan terhadap haiwan.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah kepada pihak polis bagi memastikan keselamatan, ketenteraman awam dan kesejahteraan komuniti sentiasa terpelihara.































