Hajiji bersama ahli-ahli MTMD sebelum mesyuarat bermula.
KOTA KINABALU: Sabah merekodkan penurunan sebanyak 5.9 peratus dalam jumlah penagih dadah yang dikesan pada 2025, dengan 8,665 kes berbanding 9,607 kes pada 2024, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, Sabah turut mencatat kadar terbaik di negara ini tahun lalu, dengan 230 penagih dan penyalah guna dadah serta bahan dikesan.
“Ini membuktikan keberkesanan usaha bersepadu yang dilaksanakan oleh semua pihak dalam mengekang bekalan dan permintaan terhadap dadah serta bahan terlarang di Sabah,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Negeri Sabah di Menara Kinabalu di sini, hari ini.
Ketua Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) atas usaha memperkasa komuniti di pelbagai peringkat menerusi program pencegahan dadah di peringkat akar umbi.
“Saya berterima kasih atas komitmen AADK yang baru-baru ini turun padang mendekati masyarakat di Pulau Banggi, Kudat melalui Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah dengan kerjasama Skuad Antidadah Dua Roda,” katanya.
Beliau turut memuji Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah atas kejayaan rampasan dadah berskala besar baru-baru ini menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sabah.
“Ini mencerminkan kesungguhan pihak polis dalam menjadikan usaha membanteras penyeludupan dan pengedaran dadah di negeri ini sebagai keutamaan, selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri.
“Semua pencapaian ini adalah hasil usaha tanpa henti dalam memerangi ancaman dadah yang masih menjadi musuh nombor satu negara,” katanya.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri kekal komited menyokong usaha menyeluruh untuk membanteras gejala dadah serta memastikan keselamatan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat Sabah terus terpelihara.
“Dalam merealisasikan aspirasi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), Kerajaan Negeri akan terus menyokong segala usaha ke arah mewujudkan masyarakat bebas dadah dan menjayakan agenda Bebas Dadah 2030,” katanya.
Antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat MTMD Sabah ialah peluasan program tempat kerja bebas dadah dalam sektor awam negeri serta pemerkasaan Skuad Antidadah Negeri Sabah.
































