PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan seorang anggotanya yang terbabit dalam satu kemalangan tular membabitkan sebuah motosikal ditunggang orang awam sudah direhatkan daripada bertugas.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, satu kertas siasatan sudah dibuka berhubung insiden itu.
“Kemalangan berlaku semalam (Khamis) di Lebuhraya Subang-Kelana Link membabitkan dua buah motosikal dan kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pihak polis akan memanggil semua individu terlibat termasuk pemilik kamera papan pemuka bagi dirakam keterangan untuk melengkapkan siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini.
Terdahulu tular di media sosial satu klip video berdurasi, 17 saat memaparkan kemalangan antara sebuah motosikal polis dan sebuah motosikal ditunggang orang awam.
Hantaran tular itu mendakwa mangsa merupakan seorang wanita mengalami kecederaan luka di bahagian tangan akibat kemalangan itu.































