PETALING JAYA: BMI, unit kepada Fitch Solutions mengekalkan unjurannya bahawa defisit belanjawan kerajaan persekutuan Malaysia akan menyusut kepada 3.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025, berbanding 4.1 peratus yang dijangkakan pada 2024.
Menurut Utusan Malaysia, firma itu berkata, ia kekal yakin dengan unjuran tersebut, berdasarkan rekod pentadbiran sedia ada yang konsisten dalam mematuhi sasaran fiskalnya, selain selari dengan unjuran rasmi kerajaan.
“Belanjawan ini juga merupakan satu langkah positif ke arah mencapai matlamat jangka sederhana Malaysia untuk mengurangkan defisit belanjawan kepada purata 3.5 peratus antara 2025 hingga 2027.
“Kerajaan dilihat terus komited dalam usaha konsolidasi fiskal, dengan sasaran defisit sebanyak 3.8 peratus daripada KDNK pada tahun hadapan. Antara pemacu utama kepada pengurangan ini ialah peluasan asas percukaian yang sedang berjalan, selain langkah kerajaan mengekang perbelanjaan,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Bagaimanapun, BMI memberi amaran bahawa terdapat risiko unjuran ini berdepan defisit yang lebih besar, susulan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, baru-baru ini mengenakan tarif balas sebanyak 24 peratus ke atas semua import dari Malaysia, yang dijangka memberi kesan ketara terhadap ekonomi berorientasikan eksport negara.
“Namun, sinar harapan terletak pada tahap kejayaan rundingan dua hala untuk menurunkan semula tarif tersebut,” ujarnya.
BMI turut menjangkakan pertumbuhan hasil kerajaan akan perlahan sedikit, kepada 16.3 peratus daripada KDNK pada 2025, berbanding 16.6 peratus pada tahun ini.
“Antara pengumuman bajet yang paling ketara ialah peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang kini merangkumi transaksi perkhidmatan komersial antara perniagaan (B2B), makanan tidak asas serta produk premium import seperti salmon dan avokado.
“Langkah-langkah ini dijangka menyumbang sebanyak RM51.7 bilion hasil, bersamaan 2.2 peratus daripada KDNK, yang akan digunakan kerajaan untuk mengimbangi penyusutan pendapatan berkaitan petroleum.
“Pendapatan petroleum dijangka susut kepada 3 peratus daripada KDNK pada 2025, berbanding 3.2 peratus pada 2024, berdasarkan unjuran harga minyak yang disemak semula oleh kerajaan iaitu antara AS$75 (kira-kira RM337.17) hingga AS$80 (kira-kira RM359.65) setong, selaras dengan matlamat kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap hasil petroleum.
“Kami juga menjangkakan kerajaan akan mencapai sasaran hasilnya seperti sebelum ini, termasuk melalui pelaksanaan cukai dividen sebanyak 2 peratus terhadap pendapatan melebihi RM100,000 bagi tahun taksiran 2025,” katanya.
Sementara itu, walaupun perbelanjaan keseluruhan dijangka melebihi paras yang dibajetkan, BMI memaklumkan jurang antara perbelanjaan sebenar dan bajet semakin mengecil sejak 2022, dengan perbelanjaan keseluruhan diunjurkan berkurang kepada 20.1 peratus daripada KDNK pada 2025, berbanding 20.9 peratus pada 2024.
“Antara langkah penjimatan yang dikenal pasti ialah pemansuhan subsidi bersifat menyeluruh ke atas petrol RON95 mulai pertengahan 2025, selain penyasaran semula subsidi pendidikan dan kesihatan untuk kumpulan 15 peratus pendapatan tertinggi.
“Pemansuhan subsidi petrol RON95 dijangka menjimatkan sekitar RM20 bilion, namun butiran pelaksanaannya masih belum jelas, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keberkesanannya dalam konteks konsolidasi fiskal,” katanya
Selain itu, BMI turut mengunjurkan bahawa jumlah hutang kerajaan akan kekal tinggi sekitar 63 peratus daripada KDNK, selepas meningkat kepada RM1.23 trilion pada akhir 2024 daripada RM1.17 trilion pada 2023.
Tambahnya, paras hutang awam Malaysia kekal tinggi berbanding negara pasaran membangun lain, namun risiko fiskal dijangka masih terkawal memandangkan lebih 97 peratus hutang adalah dalam denominasi ringgit.


































