KOTA KINABALU: Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri, Tun (Dr) Musa Aman menegaskan bahawa Kerajaan Negeri komited memperkukuh pembangunan sosioekonomi negeri secara holistik, mampan dan inklusif.
Ini selaras dengan matlamat Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2021–2025.
“Kita kini berada di penghujung pelaksanaan dua dasar pembangunan utama negeri. Justeru, pelaksanaan yang menyeluruh dan kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan matlamat yang digariskan berjaya dicapai,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar kerajaan pada Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-16 hari ini.
Beliau menzahirkan penghargaan terhadap usaha Kerajaan Negeri dalam merangsang pelaburan strategik, khususnya dalam sektor pembuatan yang menjadi antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
Tun Musa berkata, sepanjang tahun 2024, Sabah telah mencatatkan jumlah pelaburan keseluruhan sebanyak RM6.5 bilion, dengan 38.7 peratus daripadanya datang daripada sektor pembuatan. Angka ini menunjukkan peningkatan keyakinan pelabur terhadap keupayaan ekonomi negeri.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri sedang membangunkan tiga taman perindustrian baharu di Kudat, Kota Belud dan Beaufort. Pembangunan ini dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan menjana pelaburan baharu dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
Dalam sektor pertanian, beliau memberi penekanan kepada usaha memperkukuh keterjaminan makanan, terutama dalam menghadapi cabaran perubahan iklim dan kejadian bencana alam yang semakin kerap berlaku.
“Dasar Pertanian Negeri Sabah Ketiga memberi tumpuan kepada peningkatan tahap sara diri beras kepada 60 peratus menjelang 2030. Beberapa varieti padi baharu yang lebih tahan penyakit dan berkualiti telah dihasilkan sebagai usaha ke arah itu,” katanya.
Antara varieti baharu termasuklah Tuaran Quality Rice 3 (TQR3), hasil penyelidikan Jabatan Pertanian Sabah, yang dijangka meningkatkan kualiti dan daya tahan tanaman padi tempatan.
Selain padi, tanaman seperti avokado, durian Musang King dan nanas MD2 turut diberi tumpuan untuk menjadikan Sabah sebagai peneraju pengeluar makanan premium dan berpotensi tinggi untuk eksport.
Sektor perikanan dan penternakan juga tidak ketinggalan. Sabah telah mencatatkan tahap sara diri (SSL) melebihi 100 peratus dalam sektor perikanan, manakala SSL bagi penternakan ruminan meningkat kepada 9.33 peratus pada tahun 2024, dengan sasaran 25 peratus menjelang 2030.
Dalam sektor pelancongan, jumlah ketibaan pelancong ke Sabah pada tahun lalu mencecah 3.1 juta orang, dengan anggaran perbelanjaan pelancongan sebanyak RM7.28 bilion.
Tun Musa berkata, ini merupakan peningkatan sebanyak 20.4 peratus dan 26.4 peratus masing-masing berbanding tahun 2023.
Kerajaan Negeri menyasarkan ketibaan seramai 3.5 juta pelancong pada tahun ini dengan pelbagai strategi promosi dan penganjuran acara besar, termasuk sebagai persediaan menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Kerjasama dengan syarikat penerbangan turut diperkukuh untuk memperluas laluan penerbangan terus dari destinasi antarabangsa seperti China, Indonesia, Korea Selatan dan Vietnam,” jelas beliau.
Dalam usaha menambah baik infrastruktur pelancongan, aspek kebersihan dan kemudahan awam turut diberi perhatian, termasuk peningkatan penyelenggaraan kawasan pantai dan tandas awam oleh pihak berkuasa tempatan.
TYT turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan yang telah meluluskan peruntukan RM572.3 juta bagi menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Tawau untuk menampung peningkatan pelancong.
Menyentuh aspek infrastruktur dan tenaga, Tun Musa berkata, Projek Lebuhraya Pan Borneo Fasa 1 sepanjang 706 km akan disiapkan menjelang 2029, manakala projek bekalan air dan tenaga turut digiatkan bagi memastikan keperluan asas rakyat sentiasa terjamin.
Projek Hidroelektrik Upper Padas dan Skim Bekalan Air Ulu Padas bakal menjadi sumber jangka panjang utama bagi keperluan air dan tenaga bagi kawasan Pantai Barat Sabah.
Bagi sektor tenaga, katanya, margin simpanan penjanaan Sabah dijangka meningkat daripada kurang 10 peratus kepada 29 peratus pada tahun ini melalui pelaksanaan projek-projek interim dan fast track.
Sabah turut menyasarkan 50 peratus tenaga boleh baharu ke dalam grid menjelang 2035 serta neutral karbon menjelang 2050 melalui projek tenaga solar, hidro, biotenaga, geoterma dan OTEC.
“Pelaksanaan Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Sabah atau Sabah Energy Efficiency Action Plan (SEEAP) yang bakal dilancarkan hujung tahun ini menjadi salah satu langkah ke arah peralihan tenaga yang lebih lestari,” katanya.
Pembukaan sidang dewan kali ini cukup bermakna kerana merupakan ucapan sulung Tun Musa sebagai Yang di-Pertua Negeri sejak dilantik pada 1 Januari lalu.


































