KOTA KINABALU: Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri, Tun (Dr) Musa Haji Aman berkata pelaburan dalam pembangunan modal insan melalui pendidikan dan latihan merupakan langkah strategik Kerajaan dalam membina masa depan negeri yang lebih maju dan mampan.
Menyampaikan ucapan dasar kerajaan pada Istiadat Pembukaan Penggal Kelima, Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah Yang Keenam Belas, beliau berkata, Sabah kini berada di landasan tepat dalam usaha memperkasa rakyat dengan ilmu dan kemahiran.
“Saya memuji usaha Kerajaan Negeri kerana menyediakan sejumlah RM42.14 juta bantuan pendidikan yang memberi manfaat kepada lebih 60 ribu penerima,” kata Tun Musa.
Tambah beliau, pada tahun ini dua inisiatif baharu diperkenalkan iaitu Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Sabah (SENTOSA) dan Sumbangan Kegiatan Sekolah Sabah (SUKSES), yang masing-masing disalurkan secara one-off bagi meringankan beban pelajar dan institusi.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut meneruskan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah kepada anak-anak tempatan yang melanjutkan pengajian di institusi dalam dan luar negara.
Dalam memperkukuh tenaga kerja berkemahiran, program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pembangunan kapasiti dalam pelbagai sektor turut dipertingkat.
Menurut Tun Musa, pada tahun lalu sahaja, sebanyak 179 kursus dalam bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) serta bahasa antarabangsa telah dianjurkan dengan penyertaan lebih 35 ribu peserta.
“Program peningkatan kemahiran insaniah seperti ini amat penting bagi melahirkan rakyat Sabah yang bukan sahaja berilmu tetapi juga berdaya saing di peringkat global,” jelas beliau.
Kerajaan Negeri juga memberi tumpuan kepada pemerkasaan wanita menerusi program keusahawanan dan pembangunan kepimpinan, manakala dalam sektor tenaga, sebanyak 17 pusat latihan teknikal telah ditauliahkan setakat ini, termasuk pusat latihan kompetensi gas pertama di Sabah.
Menyentuh mengenai pembangunan belia dan sukan, Tun Musa berkata, Kerajaan Negeri sedang melaksanakan pelbagai program kepimpinan, kemahiran dan keusahawanan. Di bawah Pelan Strategik Pembangunan Sukan Sabah 2021-2030, sebanyak 19 kompleks sukan dan 151 gelanggang serbaguna kini tersedia di seluruh negeri.
Dalam aspek perkhidmatan awam pula, Kerajaan Negeri akan memperkenalkan Dasar Latihan Sumber Manusia Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (DLSM) dan mengintegrasi sistem pengurusan sumber manusia untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan.
“Transformasi digital menerusi pelaksanaan Sabah Digital Government Innovation (SDGI) akan membawa perubahan besar kepada sistem penyampaian kerajaan. Kecerdasan buatan (AI) bakal diguna pakai secara meluas untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan serta memacu inovasi ekonomi,” ujar beliau lagi.
Kerajaan turut memberi fokus terhadap agenda integriti dan antirasuah, serta memperkasakan penglibatan rakyat melalui sistem aduan digital i-Adu 2.0 dan pembangunan aplikasi i-Adu Apps.


































