Fahmi Fadzil
PETALING JAYA: Pengendali media sosial Facebook meraih pendapatan sebanyak RM 2.5 bilion tahun lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, oleh itu, pengendali platform media sosial perlu menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menyekat anasir-anasir yang memudaratkan sehingga boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
Katanya, ia sekali gus dapat mengekang tiga jenayah utama yang kini ‘berhijrah’ ke ruang maya iaitu scam dan judi dalam talian, buli siber serta jenayah seksual terhadap kanak-kanak.
“Apa guna ada AI? Apa guna mereka ambil duit dari rakyat Malaysia iaitu pendapatan Facebook pada tahun 2023 adalah RM2.5 bilion.
“Takkan mereka tidak ada bajet untuk buat saringan automatik terhadap halaman-halaman jenayah ini,” katanya ketika menghadiri Persidangan Carian Antarabangsa Ke-8: ‘Evolusi Media – Mengemudi Kelestarian dan Gangguan dalam Dunia Dinamik’ di Taylor’s University, di sini semalam.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, pengendali platform media sosial sering bertindak lambat dan hanya menurunkan kandungan seumpama itu sekiranya menerima aduan daripada pihak berkaitan.
Justeru, beliau menggesa pengendali platform media sosial lebih proaktif membantu kerajaan menyekat aktiviti tidak bermoral serta menyalahi undang-undang di akaun media sosial.
Sebagai contoh katanya, penularan halaman Facebook yang menjurus kepada kesalahan berkaitan jenayah seksual terhadap kanak-kanak di laman X baru-baru ini
“Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah berhubung dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) tentang bantuan teknikal mengenai hal tersebut, dan saya serahkan kepada PDRM untuk ambil tindakan dalam isu ini.
“Saya percaya Meta (penyedia platform) telah menurunkan kandungan itu, tapi masalahnya Meta tidak proaktif, hanya setelah dibangkitkan, baru (buat) dan sepatutnya dia telah flag daripada awal. Ini antara sebab kenapa kita mahu platform-platform ini dilesenkan secara automatik,” katanya.


































