Wang Jiong Wei menunjukkan kaedah Nanosight-NS300 di makmalnya di NUS Singapura.
SINGAPURA: Pasukan pakar Singapura memperkenalkan kajian penggunaan zarah nano dengan saiz kurang daripada satu perseribu milimeter sebagai kaedah canggih terbaharu mencegah masalah kardiovaskular seperti penyakit jantung koronari dan strok iskemia.
Menurut Utusan Malaysia, penyelidik dari Sekolah Perubatan NUS Yong Loo Lin berjaya membangunkan zarah mikroskopik yang boleh mendiagnosis pembentukan plak dalam arteri, menyasarkan plak aterosklerotik, termasuk menyampaikan agen terapeutik ke lokasi yg sukar dicapai.
Zarah-zarah halus itu dapat menyampaikan secara serentak ubat anti-radang untuk merawat plak, sekali gus mengurangkan risiko masalah kardiovaskular.
Penemuan itu diterbitkan dalam jurnal nanosains Small pada bulan Ogos.
Penolong Profesor, Wang Jiong Wei yang mengetuai kajian itu, membandingkan nanopartikel dengan kenderaan penghantaran kedua-dua ejen pengimejan dan rawatan terus ke plak.
“Ini akhirnya dapat melegakan pesakit daripada keperluan untuk berjumpa beberapa pakar untuk diagnosis dan rawatan, sekali gus menjimatkan masa dan wang mereka.
“Dadah dalam nanopartikel juga tidak akan menjejaskan pesakit yang keadaannya sudah bertambah baik, kata Wang kepada The Straits Times.
Beliau menjelaskan, zarah nano yang digunakan dalam rawatan itu akan terdegradasi atau hilang secara tidak berbahaya daripada badan dalam masa beberapa hari.
“Jika tiada langsung keradangan, tiada plak pada saluran darah, zarah nano itu akan berlalu begitu sahaja. Itulah kelebihan besar teknologi nano, “katanya.
Kajian pelbagai disiplin itu dijalankan dengan kerjasama Prof. Madya, James Kah dan Profesor Liu Bin, kedua-duanya dari Kolej Reka Bentuk dan Kejuruteraan NUS dengan bantuan Profesor Liu Xiaogang dari jabatan kimia di Fakulti Sains NUS.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), aterosklerosis yang menyebabkan penyempitan arteri adalah punca utama penyakit kardiovaskular yang meragut lebih 17 juta nyawa di seluruh dunia setiap tahun.


































