SYDNEY: Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese mengumumkan kerajaannya merancang untuk mengurangkan pinjaman pelajaran melibatkan kira-kira tiga juta warga Australia yang akan menghapuskan sekitar A$16 bilion (RM70.05 bilion) hutang.
Menurut Utusan Malaysia, langkah itu berdasarkan bajet Mei lalu yang memfokuskan tekanan kos sara hidup di Australia dan memberikan pelepasan hutang untuk pelajar.
Bajet tersebut turut menyediakan lebih banyak pelaburan untuk menjadikan ubat lebih murah dan rangsangan kepada program bantuan sewa.
“Ini akan membantu semua orang yang mempunyai hutang pelajaran sekarang, sementara kami bekerja keras untuk menyampaikan tawaran lebih baik untuk setiap pelajar pada tahun-tahun akan datang,” katanya.
Albanese dalam satu kenyataan mengumumkan pemotongan sebanyak 20 peratus pinjaman pelajaran untuk pendidikan tinggi.
Menurut beliau, perubahan itu bermakna purata graduan dengan pinjaman A$27,600 (RM120,842) akan mendapatkan pengurangan bayaran balik sebanyak A$5,520 (RM24,168).
Katanya, kerajaan juga sudah merancang untuk mengurangkan jumlah yang perlu dibayar balik oleh warga Australia yang mempunyai hutang pelajar bagi setiap tahun dan memanjangkan tempoh untuk memulakan pembayaran balik.
Tekanan kos sara hidup didorong oleh inflasi yang sangat tinggi menjadi fokus utama selepas pilihan raya Persekutuan semakin hampir dengan kerajaan Buruh berhaluan tengah kini berada di belakang lawan konservatif mereka.