Aksi Muhammad Helmi Azman dalam kelas Moto2, Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia Petronas di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) semalam.
SEPANG: Pelumba negara yang beraksi di atas tiket jemputan (wildcard), Muhammad Helmi Azman mengakui wujud jurang yang agak jauh antara dirinya dengan pelumba tetap yang beraksi pada kejuaraan dunia bagi kelas Moto2 yang disifatkannya cukup laju.
Menurut Utusan Malaysia, pelumba Petronas MIE Racing RW itu melengkapkan aksinya di kedudukan ke-23 dengan catatan masa 36 minit 55.868 saat (s) daripada 30 penunggang keseluruhan pada Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia Petronas di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini, semalam.
“Saya agak bergelut kerana saya cuba bertahan sehingga 12 pusingan kerana selepas itu perlumbaan semakin laju.
“Saya cuba sehabis baik untuk bersaing tetapi sukar dan saya tahu perlumbaan ini bukan tahap saya. Saya datang dari ARRC (Kejuaraan Motosikal Asia) dan Cub Prix, ini Moto2 yang merupakan perlumbaan kejuaraan dunia.
“Walaupun ini trek kita, kita kena akui kita masih jauh lagi berbanding mereka (pelumba Moto2),” kata Helmi kepada pemberita sebaik perlumbaan Moto2 berakhir.
Menurutnya, dia telah memberikan yang terbaik serta mengerahkan tenaganya semaksimum mungkin dan sekurang-kurangnya catatan masa sepusingan diperbaiki berbanding tahun lalu.
Mengulas pula mengenai kemalangan antara dirinya dan rakan sepasukan, Khairul Idham Pawi atau lebih dikenali dengan panggilan Super KIP pada sesi kelayakan, kelmarin, Helmi memberitahu, dia tidak menjangka sama sekali insiden itu berlaku.
“Saya memang tidak menjangkakan kemalangan akan berlaku, semasa jatuh pun saya ingat saya seorang sahaja yang terlibat dan saya tak perasan KIP turut serta,” ujarnya.
Helmi berkata, dia difahamkan Super KIP ditimpa kecederaan serius dan amat berharap rakan sepasukannya itu segera sembuh.
Sementara itu, pelumba Red Bull KTM Ajo, Celestino Vietti dari Itali menjuarai perlumbaan Moto2 selepas melakar masa terpantas 36:06.629s, manakala, di tempat kedua menjadi milik penunggang Sepanyol, Jorge Navarro (36:08.115s) dan Ivan Guevara (36:09.894s) juga dari Sepanyol di kedudukan ketiga.