BRICS telah mengumumkan penglibatan 13 negara rakan kongsi baharu, termasuk Algeria, Belarus, Bolivia, Cuba, Indonesia, Kazakhstan, Malaysia, Nigeria, Thailand, Turki, Uganda, Uzbekistan dan Vietnam baru-baru ini.
PETALING JAYA: Perancangan BRICS mengembangkan keahliannya bakal memanfaatkan sektor minyak dan gas (O&G) serta tenaga boleh diperbaharui (TBB) Malaysia melalui perdagangan gas asli dalam pasaran baharu China dan India yang boleh mempelbagaikan destinasi eksport, kata MIDF Research.
Menurut Utusan Malaysia, firma penyelidikan berkata, negara BRICS mungkin tertarik dengan peluang pelaburan, termasuk pemindahan teknologi dan usaha sama (JV) yang bakal meningkatkan kedudukannya dalam pasaran tenaga peringkat antarabangsa.
“Bagaimanapun, kami meramalkan risiko termasuk ketegangan geopolitik, pendedahan kepada turun naik mata wang, ketidaktentuan peraturan, peningkatan daya saing serantau dan penelitian daripada rakan perdagangan.
“Disebalik risiko tersebut, kami percaya pelaburan dalam sektor teknologi dan inovasi bakal mengukuhkan rangka kerja kawal selia dan membangunkan rizab strategik,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Baru-baru ini, BRICS telah mengumumkan penglibatan 13 negara rakan kongsi baharu, termasuk Algeria, Belarus, Bolivia, Cuba, Indonesia, Kazakhstan, Malaysia, Nigeria, Thailand, Turki, Uganda, Uzbekistan dan Vietnam.
Midf Research berkata, dengan penyeneraian Malaysia dan Indonesia dalam BRICS bakal mengukuhkan kedudukan blok itu dalam pasaran minyak sayuran global, di mana mereka kini menguasai pengeluaran minyak sawit.
“Kami menjangka BRICS boleh meningkatkan bahagian pengeluaran minyak sayuran global kepada hampir 48 peratus sehingga 50 peratus, sekali gus menaikkan pengaruhnya dalam pasaran pertanian global.
“Selain itu, kerjasama dalam amalan minyak sawit mampan boleh menangani kebimbangan alam sekitar, meletakkan BRICS sebagai peneraju dalam mempromosikan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sambil meningkatkan keselamatan makanan bagi negara anggota.
“BRICS juga boleh mengoptimumkan kecekapan pengeluaran minyak sawit dengan menetapkan harga baharu yang mencerminkan realiti pasaran,” katanya.
Firma itu meramalkan Petronas Gas Bhd. (beli, harga sasaran (TP): RM19.23) akan memanfaatkan kemasukan Malaysia dalam BRICS memandangkan pengaruh antarabangsanya dalam pemprosesan dan pengedaran gas.
Bagi sektor perladangan, firma itu berkata, SD Guthrie (neutral, TP: RM4.80) bakal memanfaatkan kedudukan Malaysia dalam BRICS, memandangkan operasi hiliran antarabangsanya yang mengeluarkan dan memasarkan minyak dan oleokimia.