Ewon Benedick
PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick mengetuai delegasi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi lawatan kerja di Riyadh, Arab Saudi selama dua hari.
Dalam lawatan kerja tersebut, Ewon akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Menteri Perdagangan Arab Saudi Dr. Majid Abdullah.
Mesyuarat tersebut merupakan susulan kunjungan hormat Dr. Majid kepada Ewon pada 7 Mei yang lalu.
Ewon turut akan menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman di antara agensi-agensi KUSKOP iaitu SME Corp dan PERNAS dengan Small and Medium Enterprises General Authority (Monsha’at) Arab Saudi bagi memperkukuh kerjasama strategik.
Ewon turut akan mengetuai 30 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS), francais dan koperasi negara dalam pemeran perniagaan PKS terbesar di Arab Saudi – BIBAN24.