Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Kerajaan meneliti untuk meminda undang-undang supaya hak negara dan kepentingan awam dipertahankan susulan kemelut 106.542 hektar tanah di Jalan Duta dikenali sebagai Duta Enclave.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah tersebut bagi memastikan hak negara dan kepentingan awam terus terpelihara.
Bagaimanapun, kata beliau, langkah itu tidak boleh bercangah dengan Artikel 13 dalam Perlembagaan.
Katanya, dalam kes Duta Enclave, pada masa itu (1956), ia diusahakan oleh Almarhum Tun Abdul Razak sebagai kawasan pembangunan baharu yang turut menempatkan kompleks kerajaan dan pembangunan baharu selepas itu.
“Tetapi syarikat tidak berpuas hati. Mereka terus merayu dan mahkamah pada peringkat awal tidak mengizinkan, tetapi saya ingat sejak 2003, 2006 membolehkan mereka meneruskan rayuan,” katanya Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat, kelmarin.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang meminta kerajaan menyatakan langkah penyelesaian dalam kemelut Duta Enclave melibatkan Kerajaan Persekutuan dan syarikat hartanah, Semantan Estate Sdn. Bhd.
Menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang), Anwar berkata, pampasan yang akan diberikan kepada syarikat hartanah tersebut adalah adil.
“Sementara perbincangan diteruskan supaya ada pampasan yang dikira adil tentunya tidak RM1.4 juta kerana sudah berdekad-dekad berlalu dan saya nak jamin supaya pampasan itu dianggap adil.
“Tetapi jangan ambil mudah dan menganggap bahawa kita boleh peroleh keuntungan terlalu besar daripada projek kerajaan untuk rakyat,” jelasnya.
Tambahnya, Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan sedang disiapkan namun belum dimuktamadkan oleh Jemaah Menteri kerana masih di peringkat Jabatan Peguam Negara.
“Saya berpendapat, perlu ada pindaan Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486) untuk memudahkan sambil menyelesaikan isu Duta Enclave ini dan masalah-masalah yang berbangkit kemudian,” katanya.