WASHINGTON: Ribut suria kuat dijangka melanda Bumi akhir minggu ini, berpotensi menambah tekanan kepada grid kuasa yang terjejas akibat taufan di Amerika Syarikat (AS).
Menurut Utusan Malaysia, CBS News melaporkan, pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) AS mengeluarkan pemantauan ribut geomagnet yang teruk pada Khamis hingga Jumaat, berikutan pengesanan suar suria awal minggu ini.
NOAA memberi amaran ribut itu boleh menyebabkan gangguan sementara pada sistem kuasa dan isyarat radio.
Agensi itu menasihatkan pengendali grid kuasa dan pengawal satelit untuk mengambil langkah berjaga-jaga yang diperlukan.
Bagaimanapun, pakar ramalan tidak menjangka ribut kali ini akan mencapai tahap intensiti seperti yang berlaku pada Mei lalu, merupakan ribut paling kuat dalam tempoh lebih dua dekad.


































