Tun Juhar (lima dari kanan) menerima cenderamata.
KOTA KINABALU : Seramai 82 kanak-kanak istimewa dan anak yatim dirai dalam Majlis Jamuan Teh Sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-71 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin, pada Khamis.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran isteri Tun Juhar, Toh Puan Norlidah R.M Jasni.
Dalam majlis itu, Tun Juhar menyampaikan sumbangan daripada PUSPANITA dan MUTIARA-GRS berjumlah RM1,000 masing-masing kepada 10 institusi kebajikan iaitu Rumah Bakti Harapan, Rumah Bukit Harapan, Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Kota Kinabalu dan Tuaran, Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SK Kg Contoh Petagas, PPKI SK Kibabaig, Program Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Tanjung Aru dan PPDK Kota Kinabalu.
Turut menerima bantuan, Pertubuhan Bagi Orang-orang Pekak Sabah, Rumah Anak Yatim Asnaf As Sakinah Sabindo dan Woori Jib Lok Kawi.
Selain penyampaian sumbangan, tetamu dihiburkan dengan beberapa persembahan pentas antaranya, Musical Dance daripada kanak-kanak PPKI Kampung Contoh Petagas, persembahan nyanyian oleh finalis Bintang Kecil RTM 2024, Mia Chantal dan Johan Nyanyian Solo Sekolah Rendah Konsert ISCEP-KDCA 2024, Skyler Jude Rudy Epol serta persembahan tarian daripada Mutiara Dancers, kumpulan Tiruh dari SK Sri Gaya dan Kelab Kebudayaan SK St Agnes.
Upacara memotong kek disempurnakan oleh Tun Juhar sambil diiringi Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-71 TYT serta isteri, Datin Seri Panglima Linda Ewit, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib serta isteri, Datin Noriah Pengiran Ahmad dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Safar Untong serta isteri, Datin Seri Panglima Dr. Nuinda Alias.
Ia disusuli dengan acara pengagihan buah tangan kepada kanak-kanak istimewa dan anak yatim oleh Toh Puan Norlidah.
































