NEW DELHI: Pasukan Keselamatan India menembak mati 28 pemberontak Maoist dalam satu pertempuran bersenjata di negeri Chhattisgarh, Jumaat lalu.
Menurut Utusan Malaysia, negeri itu merupakan kawasan pusat gerakan pemberontak tersebut yang mendakwa mereka berjuang demi komuniti luar bandar dan suku yang tertindas.
Insiden itu berlaku hanya beberapa hari selepas Menteri Dalam Negeri India memberi amaran kepada pemberontak untuk menyerah diri atau berdepan serangan habis-habisan.
Lebih 10,000 orang terkorban dalam pemberontakan yang berlangsung selama beberapa dekad oleh gerakan Naxalite di kawasan pedalaman yang kaya dengan sumber di India.
Namun, pemberontakan tersebut mengecil dengan ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dan tindakan keras oleh pasukan keselamatan telah mengakibatkan sekurang-kurangnya 190 pemberontak terbunuh tahun ini, menurut data kerajaan.
“Sebanyak 28 mayat Maoist ditemukan,” kata Ketua Polis wilayah Bastar, P Sunarraj, kepada AFP.
Pegawai polis daerah Narayanpur, Prabhat Kumar, memberitahu AFP seorang anggota pasukan keselamatan India mengalami kecederaan ringan, telah dipindahkan dengan helikopter dan kini berada dalam keadaan selamat.
Pertempuran itu berlaku di hutan Abujhmad, kawasan terpencil dan jarang didiami di selatan Chhattisgarh.
Kumar berkata, operasi bersama antara polis dan cabang lain pasukan keselamatan India masih diteruskan.
Kerajaan India meningkatkan kempen menentang sisa-sisa pemberontakan Maoist yang bermula hampir 60 tahun lalu.
Kerajaan India melabur berjuta-juta dolar dalam pembangunan infrastruktur di kawasan terpencil dan mendakwa telah mengehadkan pemberontakan tersebut kepada 45 daerah pada tahun 2023, berbanding 96 pada 2010.
Sebanyak 22 anggota polis dan separa tentera terbunuh dalam satu pertempuran bersenjata dengan gerila sayap kiri pada 2021.


































