Alaska Airlines
SEATTLE: Insiden pesawat Boeing 737-700 Alaska Airlines yang mengalami kerosakan enjin telah mencetuskan panik dalam kalangan penumpang sehingga yang sempat menghantar mesej kepada orang tersayang kerana bimbang berlaku nahas penerbangan.
Menurut Utusan Malaysia, perkara itu diceritakan oleh seorang penumpang, Dabney Lawless, yang menceritakan pengalaman berada dalam pesawat bersama anak lelakinya berusia 13 tahun di samping menyifatkan insiden tersebut sebagai sangat dramatik.
“Keadaan menjadi sangat cemas. Semua orang menyangka kami akan terhempas, jadi saya sempat hantar mesej kepada isteri kerana bimbang berlaku nahas pesawat terhempas,” katanya dalam emel kepada Alaska Airlines.
Pesawat Boeing 737-700 milik Alaska Airlines terpaksa berpatah balik selepas mengalami kerosakan enjin di udara, ketika dalam perjalanan menuju ke Oakland, Amerika Syarikat (AS).
Menurut laporan Business Insider, Badan Penerbangan Persekutuan (FAA) memaklumkan pesawat tersebut berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Seattle-Tacoma pada petang Ahad, tetapi terpaksa berpatah balik selepas anak kapal melaporkan berlaku kerosakan enjin.
Seorang jurucakap Alaska Airlines memaklumkan enjin kiri pesawat Boeing 737 tersebut mengalami kerosakan sejurus berlepas sehingga menyebabkan penerbangan berpatah balik dan mendarat dengan selamat di Sea-Tac sekitar pukul,1.30 tengah hari waktu tempatan.
Pada Januari lalu, sebuah pesawat Boeing 737 Max 9 milik Alaska Airlines terpaksa melakukan pendaratan cemas selepas panel pintu tercabut semasa penerbangan, sehingga meninggalkan kesan lubang besar pada pesawat tersebut pada ketinggian ribuan kaki di udara.


































