SEREMBAN: Seorang suri rumah berputih mata apabila kerugian lebih RM200,000 selepas terperdaya dengan tawaran kerja sambilan secara dalam talian.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner, Mohamad Hatta Che Din berkata, laporan polis diterima daripada seorang wanita berusia 38 tahun kelmarin berhubung sindiket penipuan tawaran kerja sambilan di aplikasi Telegram.
“Mangsa dipercayai telah berurusan melalui aplikasi Telegram tersebut dengan individu yang tidak dikenali dan telah menyertai kerja sambilan secara dalam talian.
“Kemudian, mangsa telah membuat pindahan wang sebanyak 19 kali transaksi menggunakan wang miliknya sendiri dan pinjaman wang ahli keluarga bermula dari 4 Jun sehingga 27 Julai lalu dan mengalami kerugian berjumlah RM203,981.85,” katanya kepada pemberita kelmarin.
Menurut beliau, daripada siasatan lanjut mendapati, rentetan daripada tugasan untuk kerja sambilan yang ditawarkan, mangsa telah diminta membuat beberapa tugasan yang diberikan untuk menaikkan tempahan barang secara dalam talian di dalam satu pautan diberikan.
“Namun mangsa dikatakan telah membuat ‘kesalahan’ dengan tugasan berkenaan sehingga memberi kesan kepada wang upah yang sepatutnya akan diterima sehingga lebih RM100,000.
“Di sebabkan mangsa berasa takut dan bimbang kehilangan wang upah dia telah membuat transaksi wang yang diminta,” katanya.
Beliau berkata, berikutan itu, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.