KOTA KINABALU: Seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun dipercayai dipukul beramai-ramai oleh sekumpulan pelajar perempuan lain dalam kejadian di sekitar Kota Kinabalu, sehingga videonya tular di media sosial sejak semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supt Syed Lot Syed Abdul Rahman berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu yang dibuat oleh mangsa sendiri pada 23 Mei lalu kira-kira jam 7.51 pagi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 22 Mei sekitar jam 8 pagi apabila mangsa dipercayai dipukul menggunakan tangan oleh lima pelajar perempuan.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami lebam pada kedua-dua bahu dan kaki, lebam pada telinga kiri serta luka kecil pada lutut kiri,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati mangsa dan semua suspek merupakan pelajar daripada beberapa sekolah berlainan di sekitar Kota Kinabalu.
Katanya, kesemua mereka dipercayai mengenali antara satu sama lain menerusi satu kumpulan WhatsApp dikenali sebagai “Angel”.
Menurut siasatan, mangsa dibawa ke lokasi kejadian oleh dua suspek sebelum kumpulan terbabit bertindak mengepung dan memukul mangsa.
“Motif kejadian dipercayai berpunca daripada salah faham serta rasa tidak puas hati terhadap mangsa,” katanya.
Tambah beliau, mangsa juga mendakwa diugut supaya tidak memaklumkan kejadian itu kepada ahli keluarga atau pihak polis.
Kejadian tersebut turut disaksikan beberapa pelajar dan orang awam sebelum rakaman video insiden itu tersebar luas di media sosial.
Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
































