Tun Musa (tengah) bersama-sama Masidi (lima dari kanan), Arifin (enam dari kanan) serta lebih 6000 muslimin menunaikan Solat Sunat Aidiladha yang diimamkan oleh Suhaidi.
KOTA KINABALU : Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman menunaikan Solat Sunat Hari Raya Aidiladha bersama lebih 6,000 jemaah di Masjid Negeri Sabah (MNS) di sini, pada Rabu.
Ketibaan Tun Musa pada jam 7.20 pagi disambut Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun yang juga Menteri Kewangan Sabah, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan (Exco Agama Sabah), Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif serta Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Datuk Awang Juri Awang Tahir yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis Solat Sunat Aidiladha Peringkat Negeri,
Solat Sunat Aidiladha bermula sekitar jam 7.30 pagi dan dipimpin oleh Imam Besar Masjid Negeri Sabah, Ustaz Suhaidi Kuanting disusuli dengan khutbah Aidiladha bertajuk “Ibadah Korban Dihayati, Jiwa Keikhlasan Disuburi” yang disampaikan oleh Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Ustaz Bungsu @ Aziz Jaafar.
Seusai solat sunat dan khutbah Aidiladha, Tun Musa turut meluangkan masa bersalaman serta beramah mesra bersama para jemaah sebelum beredar meninggalkan majlis sekitar jam 9.00 pagi.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong; Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Isnin Aliasnih; Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Malai Ali Malai Ahmad, menteri-menteri kabinet negeri serta ketua-ketua jabatan Persekutuan dan Negeri Sabah.
































