Dr. Joachim (tengah) merakam kenangan bersama para media dan jemputan sidang media tersebut.
KOTA KINABALU: Para pengunjung yang menghadiri Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026 di Hongkod Koisaan, Kadazandusun Cultural Association (KDCA) dinasihatkan untuk menikmati perayaan itu dengan harmoni.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, berdasarkan trend tahun-tahun sebelumnya, puluhan ribu pengunjung dijangka hadir ke sambutan tersebut.
“Nasihat saya kepada pengunjung agar sentiasa menjaga keselamatan diri, mengawal tingkah laku masing-masing dan nikmatilah perayaan ini,” katanya dalam Sidang Media Pesta Kaamatan di sini, pada Selasa.
Dr. Joachim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk sembutan berkenaan memaklumkan perkhidmatan bas ulang-alik (shuttle bus) turut disediakan kepada pengunjung sempena perayaan Pesta Kaamatan tahun ini.
“Perkhidmatan ini akan beroperasi seawal jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam sepanjang perayaan berlangsung,” tambahnya.
Penyediaan bas ulang-alik tersebut akan beroperasi dari KDCA ke Imago dan Suria Sabah pagi dan petang bagi memudahkan pergerakan pengunjung ke tempat sambutan selain untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas.
Sehubungan itu, orang ramai dijemput hadir beramai-ramai bagi memeriahkan hari kemuncak sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah pada Sabtu dan Ahad ini.
Hadir sama, Pengerusi MICC Pesta Kaamatan, Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kitingan, Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Ridhwan Roger Linus, Setiausaha MICC Pesta Kaamatan, Sairah Indan dan Ketua-ketua Jabatan.
































