Tangki minyak kanvas yang disembunyikan di ruang kargo lori.
PENAMPANG: Polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan berumur 46 tahun serta merampas minyak diesel bersubsidi dalam satu operasi khas Op Tiris yang dijalankan di daerah ini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, operasi tersebut dilaksanakan hasil risikan dan maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan tanpa permit atau kelulusan sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Menurutnya, bertindak atas maklumat itu, sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (BKDkA) Ibu Pejabat Polis Daerah Penampang telah menjalankan pemantauan di sebuah stesen minyak di kawasan Penampang.
“Hasil pemantauan, suspek didapati menjalankan kegiatan pembelian dan pengumpulan minyak diesel yang dipercayai dilakukan secara tidak sah menggunakan sebuah lori rigid satu tan yang telah diubah suai dengan tangki minyak kanvas,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, dalam operasi tersebut, pihak polis turut merampas lebih kurang 300 liter minyak diesel, sebuah lori satu tan, sekeping kad bank, sebuah telefon bimbit serta beberapa barangan lain yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.
Jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM68,645.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan suspek bersama barang kes telah diserahkan kepada KPDN Sabah untuk tindakan lanjut.
Sammy menegaskan bahawa pihak polis akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan demi menjaga kepentingan negara serta kesejahteraan masyarakat.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan penyelewengan barang kawalan diminta untuk menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu usaha penguatkuasaan yang dijalankan.






























